SHAH ALAM, 14 NOV: Dana Usahawan Madani Selangor (DUMS) diteruskan tahun hadapan dengan peruntukan berjumlah RM2 juta.
Dato’ Menteri Besar berkata menerusi dana sama, pentadbiran turut menyediakan peruntukan sehingga RM30,000 seorang kepada usahawan mikro yang memerlukan modal pembiayaan.
“Kerajaan Negeri memahami selain daripada pembiayaan dan akses kepada peralatan, pembangunan kapasiti dan pengetahuan amat penting untuk usahawan berjaya.
“Bukan mudah untuk berani mengambil langkah menjadi seorang usahawan lebih-lebih lagi pada saat persaingan ruang digital semakin hangat bagi pelbagai jenis produk,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentang Belanjawan Selangor 2026 hari ini.

Beliau berkata RM1 juta akan dibelanjakan tahun depan bagi tujuan mempromosi produk buatan Selangor selain jumlah sama turut disedia untuk menjayakan pelan perniagaan merangkumi peningkatan kapasiti, pengetahuan dan pengurusan kewangan.
“Selain daripada membudayakan usahawan, Kerajaan Negeri amat mementingkan peluang untuk graduan Selangor mendapatkan pekerjaan,” katanya.
DUMS yang dijenamakan semula daripada Dana Usahawan Mikro Selangor mula diperkenal pada 2015, bertujuan membantu peniaga kecil meningkatkan produktiviti operasi selain meringankan beban modal membeli peralatan perniagaan.
Sebelum ini, Amirudin berkata lebih RM20.06 juta telah dibelanjakan Kerajaan Negeri bagi membantu ribuan usahawan mikro sejak inisiatif itu diperkenalkan.







