ad

Gabungan alam dan warisan jadikan Rawang tarikan pelancong

30 Okt 2025, 2:01 AM
Gabungan alam dan warisan jadikan Rawang tarikan pelancong

SHAH ALAM, 30 OKT: Bagi warga kota yang mahu lari seketika daripada tekanan dan kesibukan bandar, Rawang kini dikenali sebagai lokasi ‘healing’ yang dekat, kehijauan dan penuh elemen warisan.

Wakil rakyatnya, Chua Wei Kiat berkata, DUN yang terletak hanya 30 minit dari Kuala Lumpur, kawasan yang dahulunya dikenali sebagai zon perindustrian ini kini berubah wajah sebagai destinasi pelancongan berkonsepkan alam semula jadi dan agro yang semakin mendapat tempat di hati pelancong tempatan.

“Sejak dulu orang akan rasa Rawang ini sebagai kawasan pedalaman yang banyak pokok. Itu yang digambarkan oleh orang awam.

Pelancong boleh menikmati pengalaman berbeza denga menyusuri Jalan Welman yang penuh nilai sejarah.

"Tapi sekarang ini, disebabkan bandar dah sangat pesat, jadi orang tengah nak cari mana lokasi yang kita boleh relaks dan bersifat eko pelancongan," katanya menerusi Skop: Rawang: Warisan hijau destinasi eko pelancongan siaran 27 Oktober 2025 terbitan Media Selangor.

Warisan Jalan Welman: Makanan tradisi lebih 100 tahun

Di pekan Rawang pula, pelancong boleh menikmati pengalaman berbeza denga menyusuri Jalan Welman yang penuh nilai sejarah.

Kawasan ini bukan sahaja mengekalkan bangunan-bangunan lama sejak era penjajahan British malah menjadi pusat tumpuan makanan tradisi yang telah bertahan lebih seabad.

“Jalan Welman wujud sebelum zaman penjajahan British. Bangunan dan makanan tradisi di sini masih kekal dan terus jadi tumpuan pelancong,” ujar Chua.

Tambahnya, dengan keunikan suasana pekan klasik dan sajian asli kaum Cina dan India, lokasi ini 'hidup' pada setiap hujung minggu sebagai pusat kulinari warisan.

Rawang tarik minat pelancong tempatan dengan alam dan warisan

Rawang terus mengekalkan tarikannya sebagai destinasi pelancongan mesra keluarga yang menggabungkan keindahan alam semula jadi dan elemen warisan.

Antara yang sering menjadi pilihan pelawat termasuk Taman Eko Rimba Kanching dan Templer Park, lokasi popular bagi aktiviti mendaki, berkelah atau sekadar bersantai di tengah alam.

“Yang paling orang kenal tentulah Templer Park dan Taman Eko Rimba Kanching, ada air terjun, ada rimba.

"Saya promosi destinasi ini sebagai sebahagian daripada Rawang kerana lebih dekat dengan kawasan saya berbanding Selayang,” katanya.

Selangor Fruit Valley tarikan baharu Rawang

Tidak jauh dari Batu Arang pula terletaknya Selangor Fruit Valley, tarikan baharu berkonsepkan agro pelancongan yang kian mendapat sambutan dalam kalangan pelancong tempatan dan mesra keluarga.

Taman anggur di Selangor Fruit Valley, Bestari Jaya antara tarikan baharu pengunjung ke ladang buah-buahan itu ketika tinjauan pada 2 Jun 2025.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR.

Di sini, pengunjung boleh menaiki trak khas meredah ladang buah-buahan tempatan sambil merasai sendiri hasil tani termasuk durian, manggis dan rambutan (bergantung pada musim).

Menurut Chua, Selangor Fruit Valley kini dibangunkan secara aktif oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di bawah inisiatif Kerajaan Negeri bagi memperluas sektor pelancongan pertanian.

Dengan gabungan keindahan alam, nilai sejarah dan pengalaman pelancongan yang autentik, Rawang bukan sekadar destinasi singgah tetapi lokasi lengkap untuk berehat, mengenal warisan dan mendekatkan diri dengan alam.