SHAH ALAM, 28 OKT: Kerajaan Negeri kini giat memuktamadkan intipati perancangan akhir menjelang pembentangan Belanjawan Selangor 2026 bagi memastikan dasar dan peruntukan yang akan diumumkan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perbincangan petang ini melibatkan setiausaha Kerajaan Negeri, pegawai kewangan negeri serta ketua-ketua jabatan bagi meneliti hala tuju pembangunan negeri tahun hadapan.
“Belanjawan kali ini akan memberi keutamaan kepada pelaksanaan program baharu berteraskan pendidikan dan pembasmian kemiskinan bagi memastikan rakyat terus maju seiring pembangunan negeri.
"Ia bukan sekadar mengurus angka, tetapi merangka masa depan dan memastikan setiap dasar serta peruntukan membawa manfaat sebenar kepada rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut Amirudin, Belanjawan Selangor 2026 dirangka dengan pendekatan menyeluruh yang menekankan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kebajikan rakyat.
“Insya-Allah, Belanjawan Selangor 2026 bakal membawa khabar gembira buat penjawat awam dan seluruh rakyat Selangor,” katanya.
Terdahulu, beliau memaklumkan belanjawan kali ini turut menumpukan projek naik taraf bagi menangani isu banjir demi manfaat rakyat.
Beliau berkata, pelaksanaan projek itu selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memperuntukkan RM2.2 bilion bagi 43 Rancangan Tebatan Banjir (RTB) berkeutamaan tinggi dalam Belanjawan Negara 2026.
Pembentangan rasmi Belanjawan Selangor 2026 dijadual berlangsung pada 14 November ini di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.






