SHAH ALAM, 27 OKT: Kerajaan disaran memperkenal strategi baharu bagi menangani jenayah di sekolah dan universiti dengan melibatkan masyarakat secara menyeluruh, bukan sekadar bergantung kepada institusi pendidikan semata-mata.
Ahli Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pendekatan bersepadu yang melibatkan semua pihak penting bagi memastikan keselamatan pelajar lebih terjamin dan institusi pendidikan terus berperanan membina sahsiah serta nilai murni.
“Pelbagai insiden berlaku termasuk di Selangor, seperti kes pembunuhan pelajar 16 tahun baru-baru ini. Saya percaya ini masa terbaik untuk melihat pendidikan sebagai satu tindakan menyeluruh.
“Kita tidak boleh lagi menuding jari atau membebankan satu pihak sahaja sama ada sekolah, guru atau keluarga dalam menyelesaikan isu ini,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Dato’ Menteri Besar itu turut mencadangkan agar dana yang diperuntuk kerajaan bukan hanya tertumpu kepada penyediaan peralatan sekolah, tetapi turut digunakan bagi memperkukuh institusi masyarakat dan keluarga dalam membentuk sahsiah serta keperibadian anak-anak.
“Ini bukan isu satu pihak semata-mata yang berlaku di sekolah atau rumah, tetapi ia melibatkan masa depan negara,” ujarnya.
Negara baru-baru ini dikejutkan dengan insiden tragik apabila seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut akibat ditikam rakan sekelasnya di sebuah sekolah di Bandar Utama, Selangor.
Suspek lelaki berusia 14 tahun ditahan pada hari kejadian dan didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar memaklumkan hasil bedah siasat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mendapati mangsa meninggal dunia akibat tikaman berulang kali pada bahagian dada dan leher.




