SINGAPURA, 10 JUN: Kejayaan dan kemajuan Selangor tidak boleh bergantung kepada pelaburan semata-mata, sebaliknya perlu disokong pembangunan dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan dan kesejahteraan sosial.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata walaupun sektor ekonomi seperti semikonduktor dan litar bersepadu menjadi antara fokus utama negeri, usaha pembangunan perlu dilaksanakan secara lebih menyeluruh.
Katanya, ia merangkumi pelbagai aspek termasuk pembangunan pelajar, kawalan sempadan, pengurusan perumahan dan isu sosial.

“Sebenarnya pelaburan bukan hanya tertumpu kepada syarikat-syarikat dan potensi perkembangan industri dan perkembangan berasaskan perkhidmatan.
“Tetapi sebenarnya boleh berkembang melampaui daripada aspek ekonomi antaranya pembangunan pelajar, kawalan sempadan, pengurusan perumahan dan isu sosial,” katanya kepada Media Selangor.
Terdahulu beliau melawat Institut Yusof Ishak (ISEAS) sempena lawatan rasmi menerusi Program S R Nathan Fellowship yang bermula sejak Isnin dan berakhir hari ini.
Sementara itu, Amirudin berkata pengalaman serta pendekatan Singapura boleh dijadikan panduan dalam usaha membangunkan Selangor memandangkan kedua-duanya mempunyai persamaan dari segi pembangunan bandar dan kepadatan penduduk.
“Kita berdepan dengan cabaran hampir sama sewaktu awal Singapura dan pembangunnya. Selain itu masalah gaya hidup bandar dan sebagainya yang didepani oleh kedua-dua negeri ini,” katanya.

Sepanjang lawatan rasmi itu, Amirudin mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin republik berkenaan termasuk Menteri Kanan Lee Hsien Loong yang juga bekas Perdana Menteri Singapura, Menteri Luar Negeri Vivian Balakrishnan, Menteri Pendidikan Desmond Lee serta Menteri Pembangunan Negara Chee Hong Tat.
Beliau turut mengadakan sesi libat urus bersama beberapa agensi selain menerima taklimat berhubung perancangan ekonomi, promosi pelaburan, pembangunan semula bandar dan perancangan bandar.
Program S R Nathan Fellowship diwujudkan bagi menggalakkan pertukaran pandangan serta perkongsian pengalaman antara pemimpin dan pegawai kanan luar negara dengan Singapura dalam pelbagai bidang strategik.











