SHAH ALAM, 26 OKT: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) terus memperkukuh usaha memartabatkan pendidikan berteraskan Islam di peringkat akar umbi menerusi sumbangan kepada dua institusi pendidikan di negeri ini.
PWS menyalurkan sumbangan wakaf berjumlah RM40,000 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dengkil bagi membaik pulih surau sekolah dan menyantuni warga pendidiknya.
Sumbangan itu disampaikan wakil PWS dan diterima Pengetua SMK Dengkil, Norliza Mohad Noah dalam satu majlis ringkas di sekolah berkenaan.
Majlis turut diserikan dengan Taklimat Wakaf oleh Eksekutif Unit Kutipan dan Agihan Bahagian Korporat PWS, Ibnu Hubain Abdul Aziz, yang menjelaskan peranan wakaf sebagai pemangkin pembangunan komuniti pendidikan.
“Perkongsian ini diharap dapat memperkukuh kefahaman mengenai peranan wakaf sebagai instrumen pembangunan pendidikan, selain memberi peluang kepada warga sekolah untuk bersama menjayakan misi kebajikan berterusan,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, PWS turut menyerahkan sumbangan wakaf sebanyak RM45,000 kepada KAFA Integrasi Salehuddin di Panchang Bedena, Sungai Besar bagi menaik taraf sistem pendawaian elektrik sekolah berkenaan.
Cek sumbangan disampaikan Pengurus Bahagian Korporat PWS, Muhammad Hafiz Bahari, dan diterima Ketua Guru KAFA Integrasi Salehuddin selaku wakil penerima.
Sebagai usaha menggalakkan penyertaan masyarakat, kaunter wakaf PWS turut dibuka sepanjang program untuk memberi peluang kepada guru dan hadirin menunaikan wakaf serta mendapatkan maklumat lanjut mengenai inisiatif di bawah PWS.




