JOHOR BAHRU, 26 OKT: Seorang ibu dan anak lelakinya maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 65, Jalan Johor Bahru–Ayer Hitam, berhampiran Simpang Renggam, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata kemalangan berlaku kira-kira 5.30 petang melibatkan kereta jenis Perodua Kancil, van kilang jenis Mazda, dan pacuan empat roda (4x4) Toyota Hilux.
Beliau berkata siasatan awal mendapati Perodua Kancil yang dipandu seorang wanita berusia 51 tahun bersama dua anak lelakinya berusia 15 dan sembilan tahun dalam perjalanan dari Simpang Renggam menuju ke Kampung Bukit Kenangan sebelum berhenti untuk membelok ke simpang kanan.
“Van kilang yang dipandu seorang lelaki berusia 53 tahun dari arah sama dipercayai hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang kereta berkenaan.
“Akibat pelanggaran itu, Perodua Kancil terbabas ke laluan bertentangan sebelum dilanggar Toyota Hilux yang dipandu lelaki tempatan berusia 62 tahun. Van itu turut melanggar kenderaan 4x4 tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bahrin berkata pemandu Perodua Kancil dan penumpang hadapan, iaitu anak lelakinya berusia 15 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan, manakala penumpang belakang berusia sembilan tahun cedera parah di kepala dan kaki kiri.
Beliau berkata pemandu van kilang mengalami kecederaan di muka, dada dan kaki kanan, manakala pemandu kenderaan 4x4 hanya cedera ringan di badan dan tangan kanan.
“Semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang, untuk rawatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Semalam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa dua mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Rulijah Ahmad, 51, dan Salam Norazli, 15.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Pegawai Bomba Kanan II Shoromi Salih berkata kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di tempat kejadian.
“Seorang lagi penumpang kereta Perodua Kancil, iaitu kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun, Osama Norazli, mengalami kecederaan.
“Pemandu van kilang, B. Chandran, 53, turut cedera, manakala pemandu Toyota Hilux, seorang lelaki dewasa, telah dibawa orang awam ke klinik berhampiran sebelum pasukan penyelamat tiba,” katanya.
-- BERNAMA




