ad

Selangor teliti akses data LHDN kesan suami culas nafkah

25 Okt 2025, 1:00 PM
Selangor teliti akses data LHDN kesan suami culas nafkah

SHAH ALAM, 25 OKT: Kerajaan Selangor sedang meneliti cadangan kerjasama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi mengesan bekas suami yang culas membayar nafkah.

EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata kerjasama itu melibatkan akses kepada data kewangan, aset, dan sumber pendapatan individu bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dapat dijalankan secara berkesan.

“Kami menyambut baik cadangan ini. Ia antara perkara paling awal kita bincangkan iaitu bagaimana memberikan tanggungjawab atau meletakkan tuntutan akauntabiliti kepada bekas suami yang culas memberikan nafkah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pameran "Dreamscapes: Musings of a Soul” dan "Art Journaling 40450" di Artjamila Gallery and Museum, Shah Alam di sini, hari ini.

Anfaal menambah, mekanisme penguatkuasaan baharu juga boleh disepadukan dengan sistem sedia ada, seperti semakan lesen memandu dan pendaftaran perniagaan.

“Sebagai contoh, bagi subsidi BUDI 95 diesel atau petrol, individu perlu memiliki nombor kad pengenalan dan lesen memandu sah.

"Sekiranya lesen digantung kerana gagal mematuhi perintah mahkamah, ia boleh menjadi mekanisme berkesan untuk memastikan tanggungjawab nafkah tidak diabaikan,” jelasnya.

Beliau menegaskan, cadangan ini selaras dengan dasar keadilan ekonomi keluarga dan reformasi sosial yang digerakkan Kerajaan Negeri bagi melindungi wanita dan anak-anak daripada kesan kegagalan bekas suami membayar nafkah.

Terdahulu, media melaporkan bekas suami yang culas membayar nafkah akan berdepan tindakan sita simpanan kewangan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia telah mengadakan perbincangan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membolehkan pelaksanaan langkah itu menerusi perintah Mahkamah Syariah.