SHAH ALAM, 26 OKT: Program Warisan Kita anjuran Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) mencuri perhatian generasi muda apabila berjaya menggabungkan elemen muzik dan tarian tradisional Melayu dalam satu platform pembelajaran.
Menurut Artis Budaya PADAT Diana Rani, program buat pertama kali ini menghimpunkan dua cabang seni budaya dalam satu acara bagi memperkenalkan warisan Melayu dengan lebih luas.
“Program Warisan Kita diadakan bagi mengajar dan melestarikan tarian serta muzik tradisional Melayu dalam kalangan generasi muda. Buat kali pertama, kami menggabungkan kedua-dua aspek iaitu tarian dan muzik,” katanya kepada Media Selangor.

Katanya bagi tujuan penambahbaikan, PADAT berhasrat melibatkan semua peringkat umur dalam program tersebut, namun berdepan kekangan komitmen peserta.
“Kami sedang mengusahakan idea untuk mengatasi halangan tersebut, antaranya dengan memberi kelonggaran dari segi masa keseluruhan perjalanan program 'Warisan Kita',” jelasnya.
Diana turut menggalakkan mereka yang benar-benar berminat agar berusaha mencari peluang mendalami seni budaya, lebih-lebih lagi dalam era digital yang memudahkan akses kepada maklumat.

Sementara itu, Pengurus Kelab Sinar Tari SK Sungai Pelong, Rohana Mokhtar, berkata perkembangan positif pelajar dalam bidang tarian dan muzik tradisional membuktikan keberkesanan program 'Warisan Kita'.
“Saya sangat bangga melihat penambahbaikan anak-anak murid saya dalam seni kebudayaan ini. Saya berharap mereka terus mendalami bidang ini agar ia tidak ditelan zaman,” katanya.
Katanya, semua lapisan masyarakat perlu mengenali kebudayaan sendiri supaya dapat memahami elemen warisan bagi menghargainya sepenuhnya.
Sependapat dengan Rohana, pelajar program gamelan Amirul Akif Bunyamin berkata pengalaman mengikuti program ini sebagai satu penghargaan terhadap warisan budaya bangsa.
“Sebagai pelajar bidang kebudayaan, saya sangat gembira program seperti ini diadakan dan berharap ia dapat diteruskan lagi pada masa akan datang,” ujarnya.
Beliau turut menekankan bahawa generasi muda harus mula menghargai kebudayaan sejak awal kerana ia merupakan sebahagian daripada sejarah dan identiti negara.
“Seni kebudayaan wajar diterapkan dalam diri generasi muda kerana ia amat penting dalam sejarah kita. Contohnya, gamelan dahulu dimainkan di istana ketika majlis diraja dan disertai dengan tarian. Dari situ kita dapat lihat betapa pentingnya seni budaya dalam kehidupan masyarakat Melayu,” tambahnya.








