ad

Ilmu, inovasi jadi teras kemajuan Selangor: MB

25 Okt 2025, 10:45 AM
Ilmu, inovasi jadi teras kemajuan Selangor: MB

SHAH ALAM, 25 OKT: Selangor kini bukan sekadar negeri perindustrian, tetapi turut muncul sebagai hab ilmu dan inovasi yang mendorong kemajuan masyarakat berteraskan idea dan pemikiran kreatif.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, kemampuan melahirkan idea baharu menjadi asas kepada pembangunan negeri dan negara, justeru perlu diperkukuh melalui inisiatif seperti Festival Idea @ Selangor.

“Selangor bukan sahaja maju dari segi ekonomi dan infrastruktur, tetapi juga menjadi tumpuan aktiviti pendidikan serta pengembangan ilmu.

"Idea dan pemikiran manusia inilah yang membina ketamadunan serta menjamin kemajuan sesebuah bangsa,” katanya ketika berucap pada Festival Idea @ Selangor di Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi MARA (UiTM), di sini, hari ini.

Amirudin berkata, masyarakat perlu menilai kepentingan idea dan daya fikir manusia sebagai unsur tertinggi dalam pembangunan, agar kemodenan tidak menjadikan manusia terperangkap dalam dunia tanpa makna.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata festival berkenaan berperanan mengetengahkan hasil penyelidikan dan inovasi kepada masyarakat, sekali gus menyemai budaya berfikir secara kreatif, kritikal dan kolaboratif.

“Melalui festival ini, kita berusaha melakar masa depan berasaskan ilmu dan nilai, di mana universiti, industri serta masyarakat berganding bahu membentuk ekosistem idea yang dinamik dan berimpak,” katanya.

Beliau menambah, penganjuran seperti ini penting bagi memperkukuh kerjasama antara sektor pendidikan, kerajaan, industri dan masyarakat ke arah kemajuan negeri yang mampan serta berdaya saing.