SHAH ALAM, 25 OKT: Festival Idea @ Selangor kembali menjadi platform utama menonjolkan inovasi tempatan yang menawarkan solusi berasaskan teknologi untuk manfaat masyarakat dan industri.
Antara inovasi yang mencuri tumpuan ialah Sharp Line 3.0 oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS).
Pembantu tadbir MPKS, Mohamad Nazim Mardan berkata, teknologi berasaskan GPS ini membolehkan garisan padang ditanda dengan lebih pantas dan tepat, sekali gus mengurangkan kebergantungan tenaga manusia.
"Proses membangunkan mesin ini mengambil masa kira-kira enam bulan. Kini kami sedang bekerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk ujian penggunaan di padang.
"Teknologi ini juga boleh disesuaikan untuk keperluan lain seperti penyediaan tapak bazar, tempat letak kereta dan aktiviti semburan kabus atau fogging," katanya kepada Media Selangor.

Sementara itu, seorang lagi pempamer, Muhammad Ilman Fakhri Ali Shah memperkenalkan mesin pengimbas dan pencetak 3D, membolehkan lakaran dan model dihasilkan untuk industri semikonduktor dan automotif.
Menurutnya, teknologi itu bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar dan belia meneroka bidang reka bentuk moden, malah membuka ruang menjana pendapatan sampingan.
“Dengan teknologi 3D ini, kami boleh menghasilkan pelbagai produk seperti topeng muka, rantai kunci dan diorama. Ia membuka peluang kepada anak muda untuk menjana pendapatan melalui kreativiti sendiri sambil mempelajari kemahiran baharu,” tambahnya.
Terdahulu, media melaporkan Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2025 akan dilaksanakan dengan skala lebih besar dan diperluas ke seluruh negara, melibatkan penyertaan 13 negeri sepanjang bulan ini.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataannya sebelum ini memaklumkan Festival Idea @ Negeri akan menjelajah ke universiti awam, politeknik dan kolej komuniti, dengan acara kemuncak di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dari 4 hingga 8 November depan.






