ad

Peralihan monsun: Selangor siap siaga hadapi kemungkinan bencana termasuk bah

25 Okt 2025, 9:19 AM
Peralihan monsun: Selangor siap siaga hadapi kemungkinan bencana termasuk bah

SHAH ALAM, 25 OKT: Kerajaan Negeri bersedia sepenuhnya menghadapi musim peralihan monsun dan sebarang kemungkinan bencana termasuk bah, kata EXCO pengurusan bencana.

Mohd Najwan Halimi berkata semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pejabat daerah kini sudah bersiap siaga, hasil penyelarasan menyeluruh di semua peringkat pasukan pengurusan bencana negeri.

“Ini menandakan permulaan simbolik kepada fasa kesiapsiagaan kita. Di peringkat negeri, kita sudah bersedia sepenuhnya untuk bertindak balas terhadap sebarang kemungkinan bencana, khususnya banjir.

“Persiapan telah diselesaikan lebih awal dan kini kita berada dalam keadaan siap siaga. Sekiranya berlaku sebarang kejadian, kita bersedia menghadapinya,” katanya.

Najwan berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran Program Bakat Seni dan Keusahawanan Selangor (STEP) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, hari ini.

Semalam, Dato’ Menteri Besar melancarkan Skuad Pengurusan Bencana Selangor sempena Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2025, sebagai langkah memperkukuh tindak balas bencana negeri.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, Selangor kini berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana atau kecemasan sepanjang peralihan monsun yang dijangka berterusan hingga Februari tahun depan.

Langkah kesiapsiagaan bencana negeri telah digerakkan sejak Julai lalu, melibatkan lebih 20 agensi beruniform termasuk Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta semua PBT di bawah penyelarasan Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor.