SHAH ALAM, 24 OKT: Kerajaan Selangor mempertingkatkan pemantauan di kawasan berisiko banjir terutama ketika musim peralihan monsun dan fenomena air pasang besar.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya turut melaksanakan pengukuhan ban serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan pasukan keselamatan bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana.
“Kita memperketat kawalan terutama sekitar Disember yang lazimnya berdepan fenomena air pasang besar. Ketika itu kawasan berisiko biasanya terjejas, namun kita berharap tiada hujan berlaku pada masa yang sama.
“Sebagai langkah awal, kita menambah baik ban dan memperkukuh kesiapsiagaan pasukan keselamatan. Bilangan kawasan berisiko pula sentiasa berubah mengikut keadaan semasa kerana ada lokasi telah dilaksanakan projek mitigasi, manakala kawasan baharu pula mula terkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis pelepasan Skuad Pengurusan Bencana Negeri sempena pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2025 di Dataran Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.
Terdahulu, Amirudin memaklumkan skuad berkenaan melibatkan seramai 5,000 anggota dan pegawai daripada lebih 20 agensi, terdiri daripada pasukan beruniform, pihak berkuasa tempatan serta pejabat daerah dan tanah.
Menurut beliau, skuad negeri berada dalam tahap kesiapsiagaan tinggi bagi menghadapi sebarang bencana, khususnya menjelang hujung tahun.
“Penyelarasan aktiviti telah dimulakan sejak dua atau tiga bulan lalu, sekitar Julai atau Ogos. Kita berada dalam kesiapsiagaan tinggi menjelang peralihan monsun yang dijangka berlarutan hingga Januari atau Februari.
“Skuad bencana ini bukan sahaja membabitkan agensi lazim, tetapi turut disertai Majlis Sukan Negeri yang menyelaras penglibatan sukarelawan,” katanya.









