SHAH ALAM, 25 OKT: Penggiat industri kreatif disaran melengkapkan diri dengan kemahiran keusahawanan dan strategi pemasaran bagi kekal berdaya saing serta menjana pendapatan mampan.
EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata bakat semata-mata tidak mencukupi dalam dunia seni masa kini kerana penggiat perlu memahami realiti industri yang turut menuntut kebolehan membina kerjaya dan memasarkan karya secara profesional.

“Bakat sahaja tidak cukup. Golongan kreatif hari ini perlu faham bahawa membina kerjaya dan tahu cara memasarkan diri adalah realiti sebenar. Terlibat dalam bidang seni tidak bermakna kita tidak boleh menjadikan keusahawanan sebagai salah satu platform.
“Seni ialah produk — dan produk yang boleh dipasarkan. Jika digunakan dengan betul, bakat mampu menjadi sumber pendapatan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Program Bakat Seni dan Keusahawanan Selangor (STEP) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Program anjuran Kerajaan Negeri dengan kerjasama UiTM itu menghimpunkan lebih 500 pelajar yang menyertai pelbagai bengkel, aktiviti serta persembahan muzik dan seni sepanjang sehari penganjuran.
Najwan berkata, inisiatif berkenaan sebahagian daripada strategi Selangor memperkukuh ekonomi kreatif atau ekonomi jingga sebagai enjin pertumbuhan baharu negeri, selain membuka peluang kepada bakat muda menimba ilmu industri sebenar.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada 30 pelajar berpendapatan rendah serta penyanyi Yazid Alias daripada kumpulan Sejati yang menghidap penyakit fizikal.
Antara tokoh seni tempatan yang hadir termasuk Datuk Ramli MS, Man Kidal, Edrie Hashim (Subculture), Datuk Ahmad Lothfi Ibrahim, Jaferi Achip serta kumpulan Dukes, Kombat Pilgrims dan The ExActs.




