ad

Pendidikan, pembasmian kemiskinan antara fokus utama Belanjawan Selangor 2026 – MB

25 Okt 2025, 3:25 AM
Pendidikan, pembasmian kemiskinan antara fokus utama Belanjawan Selangor 2026 – MB
Pendidikan, pembasmian kemiskinan antara fokus utama Belanjawan Selangor 2026 – MB
Pendidikan, pembasmian kemiskinan antara fokus utama Belanjawan Selangor 2026 – MB

SUBANG JAYA, 25 OKT: Belanjawan Selangor 2026 bakal memberi tumpuan kepada pelaksanaan program baharu berteras pendidikan dan pembasmian kemiskinan bagi memastikan rakyat terus maju seiring pembangunan negeri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kedua-dua aspek tersebut merupakan keperluan penting yang selaras dengan matlamat pentadbiran untuk memastikan rakyat menikmati kemajuan secara inklusif dan seimbang.

Dato Menteri Besar Dato Seri Amirudin Shari ditemui media ketika Program Gotong royong Komuniti Ayer di Galeri Pameran Ayer Bukit Puchong, Subang Jaya pada 25 Oktober 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Ini antara program dalam belanjawan tahun depan. Ada dua, tiga program baharu berkait dengan pendidikan dan pembasmi kemiskinan. Insya-Allah saya sedang siapkan teks belanjawan.

“Belanjawan atau keuntungannya juga telah disiapkan. Saya percaya ini akan dapat membantu kepada keperluan penduduk dan pastikan rakyat bergerak sama dengan pembangunan dan hala tuju diri,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Gotong-Royong Komuniti Ayer sempena Hari Alam Sekitar Malaysia di Puchong, hari ini.

Sejak 2022, Kerajaan Negeri melaksanakan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) bagi mengurangkan kadar kemiskinan rakyat.

Menerusi skim itu, penerima layak menerima bantuan RM300 sebulan selama dua tahun, sekali gus meringankan beban kewangan isi rumah berpendapatan rendah.

Pada 10 Oktober lalu, Amirudin memaklumkan sektor pendidikan bakal menerima peruntukan terbesar dalam Belanjawan Selangor 2026, meliputi pelaksanaan program pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) untuk pelajar sekolah menengah.

Langkah itu, jelasnya, menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri memperkukuh sistem pendidikan serta melahirkan generasi masa depan yang dilengkapi kemahiran memenuhi keperluan industri.