Pameran pendidikan khas Selangor tonjol kehebatan pelajar OKU

25 Okt 2025, 4:01 AM
Pameran pendidikan khas Selangor tonjol kehebatan pelajar OKU
Pameran pendidikan khas Selangor tonjol kehebatan pelajar OKU
Pameran pendidikan khas Selangor tonjol kehebatan pelajar OKU

SHAH ALAM, 25 OKT: Program Pameran Hasil Murid Pendidikan Khas anjuran Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) membuka ruang kepada pelajar orang kurang upaya (OKU) menonjolkan bakat dan potensi mereka kepada masyarakat.

Guru Pendidikan Khas Sekolah Kebangsaan Seri Kepayang, Amelia Baizatul Raiha Baharuddin, berkata pameran berkenaan memberi peluang kepada masyarakat melihat sendiri kemampuan pelajar OKU yang sering disalah erti.

“Program ini sangat bermanfaat kerana membantu mengubah persepsi dan meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap golongan OKU,” katanya ketika ditemui pada Sidang Kemuncak Antarabangsa mengenai Masa Hadapan Inklusif OKU (ISDIF) di Aeon Shah Alam, semalam.

Guru pendidikan khas SK Seri Kepayang Amelia Baizatul Raiha Baharuddin. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Pengerusi Persatuan Guru Pendidikan Khas Selangor, Wan Muadzam Wan Abidin, pula menegaskan peranan guru amat penting dalam mencungkil potensi pelajar khas melalui inovasi dan alat bantu pembelajaran.

“Guru dan UiTM menjadi pemangkin kepada kebolehpasaran OKU. Kami mahu masyarakat tahu bahawa mereka juga mampu melakukan perkara hebat,” katanya.

Pengerusi Persatuan Guru Pendidikan Khas Selangor Wan Muadzam Wan Abidin. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, Setiausaha Program Penyelidikan Tindakan, Inovasi dan Perkongsian Pengalaman (PTIPP), Farhanah Sukainah Abd Wahab, berkata program seperti ini membuka peluang kerjasama lebih luas antara sekolah dan rakan strategik.

“Dalam tempoh sehari, guru berjaya hasilkan 35 ciptaan inovasi. Bayangkan potensi jika diberi lebih masa, sebab itu program ini wajar diteruskan,” ujarnya.

Setiausaha Program Action Research, Innovation, Sharing Experience Farhanah Sukainah Abd Wahab. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Bagi pelajar pendidikan khas, Adam Rifaie Ghazalaini, penyertaan ini menjadi titik permulaan untuk terus yakin dengan kebolehan diri.

“Saya belajar banyak perkara dan lebih yakin menghadapi cabaran hidup,” katanya dengan senyuman.

Pelajar SMK Sekysen 27 Adam Rifaie Ghazalaini. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR