ad

Lelaki jatuh laut di Sungai Besar berjaya diselamatkan - bomba

24 Okt 2025, 4:24 AM
Lelaki jatuh laut di Sungai Besar berjaya diselamatkan - bomba

SHAH ALAM, 24 OKT: Seorang lelaki yang dilaporkan terjatuh ke laut di kawasan Bagan Sungai Burung, Sungai Besar semalam, ditemui selamat awal pagi tadi selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan hampir lapan jam.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 pada jam 6.16 petang (23 Oktober) sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian.

Komander Operasi, PBK II M. Noorlizai Mohammad Zainudin, berkata kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa sedang pulang menaiki bot sebelum terjatuh ke laut.

“Pasukan bomba bersama beberapa agensi lain menjalankan operasi mencari dan menyelamat di sekitar kawasan kejadian.

“Mangsa, Khairul Anuar Sabarah, 35, warganegara Malaysia, ditemui orang awam dalam keadaan selamat kira-kira dua kilometer dari Pos Kawalan Operasi Bomba (PKOB) berhampiran Jeti Kampung Nelayan Sungai Besar pada jam 2.45 pagi (24 Oktober),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Seramai lapan pegawai dan anggota bomba terbabit dalam operasi tersebut yang turut dipantau oleh Timbalan Ketua Zon 7 JBPM Selangor, PgB Mohd Amal Izzudin Azmi.

Orang awam yang mempunyai maklumat tambahan boleh menghubungi Timbalan Ketua Zon 7 JBPM Selangor di talian 017-370 6423.