Polis tahan tiga lelaki bantu siasatan kes anggota bomba maut kemalangan

27 Okt 2026, 12:02 AM
Polis tahan tiga lelaki bantu siasatan kes anggota bomba maut kemalangan

SEREMBAN, 27 OKT: Polis menahan tiga lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes kemalangan maut membabitkan seorang anggota bomba di Kilometer 2.6, Jalan Pantai, Port Dickson pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintenden Ahmad Afiq Mohd Adnan berkata tiga lelaki berkenaan terdiri daripada pemandu Toyota Vios yang berusia 32 tahun dan dua rakannya masing-masing berusia 31 dan 32 tahun, dipercayai bersubahat menyembunyikan serta menanggalkan nombor pendaftaran kereta itu di Puchong, Selangor.

Beliau berkata dalam kejadian pada 8.05 pagi itu, motosikal Honda ADV160 yang ditunggang mangsa berusia 46 tahun dan kereta berkenaan dipercayai bergerak dari arah Telok Kemang menghala ke Port Dickson.

“Setibanya di lokasi kejadian, kereta itu dipercayai membuat pusingan U menyebabkan penunggang motosikal yang berada di belakang cuba mengelak sebelum melanggar bahagian sisi kanan kereta berkenaan dan terjatuh di lorong bertentangan.

“Mangsa mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Wad Kecemasan Hospital Port Dickson manakala pemandu kereta melarikan diri selepas kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Ahmad Afiq berkata pemandu kereta itu kemudian ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang kira-kira 6.30 petang tadi manakala dua rakannya ditahan di Puchong.

Beliau berkata semakan mendapati pemandu kereta itu tidak mempunyai lesen memandu yang sah manakala cukai jalan dan insurans kenderaan berkenaan telah tamat tempoh.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan permohonan reman terhadap ketiga-tiga lelaki itu akan dibuat di Mahkamah Port Dickson esok.

-- BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.