ad

MBPJ raih anugerah gangsa AIGA hasil penambahbaikan tadbir urus

23 Okt 2025, 9:44 AM
MBPJ raih anugerah gangsa AIGA hasil penambahbaikan tadbir urus
MBPJ raih anugerah gangsa AIGA hasil penambahbaikan tadbir urus

SHAH ALAM, 23 OKT: Usaha Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperkukuh sistem tadbir urus dan integriti organisasi membuahkan hasil apabila pihak berkuasa tempatan (PBT) itu meraih anugerah gangsa dalam Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA).

Ketua Unit Integriti MBPJ Nor’Ain Adam berkata penambahbaikan berterusan dalam pengurusan yang telus menjadi asas kepada kejayaan tersebut, selaras dengan komitmen pihaknya memastikan tatakelola dilaksana secara jujur dan amanah.

“Selain memperkukuh tatakelola, kita turut mengamalkan pembudayaan integriti dengan melaksanakan pelbagai program bersama agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kita juga menganjurkan taklimat serta program antirasuah di setiap jabatan dengan menerapkan elemen integriti dalam urusan kerja harian,” katanya kepada Media Selangor.

Nor’Ain berkata usaha membudayakan integriti bukan hanya melibatkan warga kerja MBPJ, malah diperluas kepada komuniti setempat termasuk persatuan penduduk, kelab rukun tetangga dan institusi pendidikan.

“MBPJ turut menyediakan saluran aduan integriti di laman web dan pembangunan sistem integriti yang telah diinovasikan bagi membantu proses penyediaan serta perekodan laporan aduan dengan lebih teratur dan efisien,” katanya.

Majlis penyampaian anugerah AIGA berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) semalam. Program disempurnakan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari, Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi Institut Integriti Malaysia (IIM) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Pengerusi Jawatankuasa Induk AIGA 2025 Datuk Seri Dr. Akhbar Satar.