ad

MBSA nafi tapak masjid dijadikan Uptown Setia Alam

23 Okt 2025, 12:43 PM
MBSA nafi tapak masjid dijadikan Uptown Setia Alam

SHAH ALAM, 23 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menafikan dakwaan penggunaan tapak masjid seluas 4.95 ekar untuk aktiviti Uptown Setia Alam di Persiaran Setia Gemilang, Seksyen U13 di sini.

Jabatan Korporat dan Perhubungan Awam MBSA memaklumkan perbincangan dan rundingan awal bersama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) sudah diadakan.

"MBSA tidak menyokong sebarang penggunaan sementara dan mengekalkan rezab tersebut bagi tujuan asal pembinaan masjid seperti dirancang dalam pembangunan Bandar Setia Alam yang kini hampir matang.

"Pihak Jais dan Mais mengambil maklum bahawa pembinaan masjid di tapak tersebut wajar dilaksanakan dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang sejajar dengan keperluan komuniti dan pembangunan mampan di kawasan itu," katanya.

Dalam pada itu, MBSA menyeru semua pihak tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih dan merujuk terus kepada pihak berkaitan bagi mendapatkan penjelasan tepat.

Jelasnya, sebagai langkah proaktif MBSA turut menghantar pasukan penguat kuasa bagi memantau keadaan di tapak berkenaan termasuk pemasangan tali rentang keselamatan.

"Tapak ini dikekalkan sebagai kawasan institusi untuk kegunaan penduduk beragama Islam, selaras dengan tujuan asal perancangan awal penyediaan rezab tapak masjid dengan nisbah penduduk lebih 10,000 orang," katanya.