ad

Didik masyarakat nilai isu secara menyeluruh, bukan ikut emosi – Dr Jufitri

22 Okt 2025, 12:49 PM
Didik masyarakat nilai isu secara menyeluruh, bukan ikut emosi – Dr Jufitri
Didik masyarakat nilai isu secara menyeluruh, bukan ikut emosi – Dr Jufitri
Didik masyarakat nilai isu secara menyeluruh, bukan ikut emosi – Dr Jufitri
Didik masyarakat nilai isu secara menyeluruh, bukan ikut emosi – Dr Jufitri

SHAH ALAM, 22 OKT: Masyarakat perlu dididik menilai sesuatu isu secara holistik dan berpaksikan fakta, bukan berdasarkan emosi atau andaian semata-mata, tegas Ahli Dewan Negara Dr Jufitri Joha.

Beliau berkata sikap terburu-buru menuding jari tanpa memahami akar sesuatu permasalahan hanya akan memburukkan keadaan dan menghalang usaha mencari penyelesaian sebenar.

“Memang mudah kita menuding jari, tetapi kita perlu sedar bahawa tanggungjawab menyelesaikan masalah bermula daripada diri sendiri.

“Pendidikan demokrasi dan politik juga penting, bukan sahaja kepada rakyat tetapi kepada pemerintah yang menjadi model kepada masyarakat serta mempengaruhi pemikiran generasi muda,” katanya.

Dr Jufitri berkata demikian ketika menjadi panel dalam Forum Reformasi Pendidikan dan Cabaran Masa Kini: Punya Arah atau Hilang Arah? anjuran Kerajaan Selangor di Pustaka Raja Tun Uda, di sini, hari ini.

Forum "Reformasi Pendidikan dan Cabaran Masa Kini: Punya Arah atau Hilang Arah?" di Pustaka Raja Tun Uda Shah Alam pada 22 Oktober 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Beliau menambah, usaha menangani pelbagai masalah masyarakat perlu bermula daripada pembetulan cara berfikir, seperti yang ditegaskan pemikir Algeria, Malek Bennabi, bahawa segala perubahan hanya akan berlaku apabila manusia mencapai “kemerdekaan akal.”

Forum yang dikendalikan Ketua Sekretariat Pembangunan Mahasiswa Selangor Mohd Hidayat Mohd Sauffi turut menampilkan Ahli Dewan Negeri Batu Tiga Danial Al-Rashid, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Aminuddin Awang dan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris Prof Dato’ Dr Md Amin Md Taff.

Terdahulu, forum dirasmikan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang hadir mendengar perbincangan berkenaan, menggambarkan kesungguhan Kerajaan Negeri memastikan hala tuju reformasi pendidikan kekal di landasan tepat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama para peserta pada Forum "Reformasi Pendidikan dan Cabaran Masa Kini: Punya Arah atau Hilang Arah?" di Pustaka Raja Tun Uda Shah Alam pada 22 Oktober 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR