SHAH ALAM, 23 OKT: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) menyalurkan dana RM140,000 bagi membantu pembinaan sebuah sekolah khas untuk pelajar perempuan di Aqrabat, Syria melalui kerjasama dengan pertubuhan kemanusiaan Syria Care.
Ketua Jabatan Pengurusan Projek Syria Care, Siti Marieyam Wearzana Hasbi, berkata sekolah dinamakan Sekolah Ulfah Satu Perempuan itu dibina bersebelahan Sekolah Ulfah Satu Lelaki sebagai usaha menyediakan ruang pembelajaran yang selamat dan kondusif kepada kanak-kanak perempuan terkesan akibat peperangan.
“Projek bermula pada 2019 selepas misi kemanusiaan Malaysia meninjau keadaan sekolah sementara di sana. Ketika itu, murid belajar dalam kontena yang sudah tidak sesuai digunakan. Apabila tanah bersebelahan sekolah lelaki diperoleh, kami mengambil inisiatif membina sekolah baharu khusus untuk pelajar perempuan,” katanya.
Beliau menjelaskan, kos keseluruhan pembinaan dianggarkan RM250,000 hasil sumbangan orang ramai dan sokongan besar daripada Pekawanis melalui Pengerusinya, Datin Seri Masdiana Muhamad.
Sejak mula beroperasi pada 2020, sekolah berkenaan menampung lebih 2,000 pelajar dengan menyediakan pendidikan percuma dari Gred 1 hingga 6 termasuk makanan, alat tulis dan bantuan pembelajaran. Ia turut membuka peluang pekerjaan kepada guru serta kakitangan tempatan.
“Sekolah ini bukan sekadar tempat belajar, tetapi juga simbol perlindungan dan harapan baharu untuk anak-anak pelarian yang kehilangan keluarga serta tempat tinggal,” katanya.
Menurutnya lagi, rakyat Syria masih memerlukan bantuan antarabangsa biarpun konflik mula reda kerana ramai masih tinggal di kem pelarian dan rumah rosak akibat peperangan.
“Pendidikan memberi masa depan kepada mereka. Setiap sumbangan rakyat Malaysia amat bermakna buat anak-anak ini,” tambahnya.
Siti Marieyam turut berterima kasih kepada rakyat Malaysia atas sokongan berterusan terhadap pelbagai program kemanusiaan termasuk kempen ‘Warm Their Winter’, bagi mengumpul pakaian musim sejuk untuk 30,000 penduduk Syria.
“Baru hari pertama pengumpulan, dewan sudah penuh dengan pakaian sumbangan. Ini bukti rakyat Malaysia sentiasa prihatin,” katanya.
Kempen tersebut berlangsung hingga Ahad ini di Dewan Kiambang, Seksyen 7, Shah Alam, dengan penyertaan lebih 830 sukarelawan.




