SHAH ALAM, 23 OKT: Ketika jumlah kenderaan terus meningkat saban tahun, kereta terbiar kini menjadi “sampah tersembunyi” di kawasan perumahan dan parkir awam yang mencemar persekitaran dan mencacatkan imej bandar.
Namun di sebalik cat lusuh dan besi berkarat, tersimpan puluhan komponen bernilai yang boleh dikitar semula, menjadikannya berpotensi “berubah daripada sisa menjadi sumber”.
Bagi menangani isu ini, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) sejak 2021 melaksanakan dasar Kenderaan Tamat Hayat (End-of-Life Vehicle, ELV) bagi mengurus pelupusan kereta terbiar secara sah dan mesra alam.
Melalui dasar ini, semua kenderaan ditarik akan diserahkan kepada syarikat berlesen diluluskan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk dileraikan dan dikitar semula dengan selamat.
Antara kemudahan rawatan kenderaan berlesan pertama di Malaysia ialah Car Medic Sdn. Bhd., yang beroperasi di Kajang Technology City sejak 2020.
Syarikat ini menggunakan proses pelupusan sistematik berasaskan piawaian alam sekitar bagi memastikan tiada pencemaran sekunder berlaku.

Satu kenderaan, puluhan komponen boleh dikitar semula
Ramai beranggapan kenderaan lusuh hanyalah besi buruk, sedangkan ia mengandungi pelbagai bahan boleh digunakan semula seperti logam, plastik, kaca, getah, cecair dan komponen elektronik.
Bahan-bahan seperti keluli, aluminium, bamper, cermin, tayar, bateri dan minyak boleh dijadikan semula sebagai bahan mentah industri, sekali gus mengurangkan pembaziran sumber serta menyokong pertumbuhan industri kitar semula automotif negara.
Operasi teratur, patuh piawaian alam sekitar
Ketika tinjauan Media Selangor ke kilang Car Medic, operasi peleraian didapati teratur dan bersih, dengan setiap kenderaan disusun mengikut prosedur ketat.
“Jika terdapat setitis minyak di lantai, ia mesti dibersihkan serta-merta,” kata wakil syarikat.
Proses pelupusan setiap kenderaan mesti melalui tujuh langkah utama iaitu:
-Pengesahan identiti kenderaan untuk memastikan ia sah dilupuskan.
-Proses nyahpencemaran: menyingkir semua cecair berbahaya.
-Pemulihan gas penyejuk (CFCs/HFCs) bagi mengelak kerosakan lapisan ozon.
-Penyingkiran dan pelabelan semula komponen yang boleh digunakan.
-Pemisahan tayar dan rim.
-Peleraian struktur utama menggunakan mesin berat.
-Pengasingan logam dan sisa minyak untuk rawatan akhir.

Sah di sisi undang-undang, yakinkan pemilik
Pengarah Car Medic Sdn. Bhd., Kwan Kian Heng dan Kwan Joey menjelaskan setiap kenderaan yang dilupuskan di pusat mereka akan menerima Sijil Pelupusan sebagai bukti sah.
“Kami menggunakan sistem nyahpencemaran automatik yang mengekstrak semua cecair dalam masa hanya 10 minit, diikuti proses peleraian manual selama 20 minit,” kata mereka.
Semua prosedur syarikat itu menepati piawaian alam sekitar Eropah bagi sistem ELV, memastikan tiada pencemaran tanah atau sungai berlaku.

30 kenderaan dihapuskan setiap hari
Berikutan peningkatan jumlah kereta terbiar di Selangor, Car Medic kini memproses sekurang-kurangnya 30 kenderaan sehari di pusat pelupusan di Kajang.
“Jika tidak diurus segera, kereta terbiar bukan sahaja mengambil ruang parkir awam, tetapi turut menjejaskan pemandangan bandar,” kata mereka.
Syarikat itu kini bekerjasama rapat dengan MPKj dan berhasrat memperluas model pelupusan mesra alam itu ke seluruh Selangor.
“Kami mengalu-alukan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain bagi mempercepat pelupusan kenderaan terbiar serta memperbaiki persekitaran komuniti,” tambah mereka.