SHAH ALAM, 24 OKT: Isu kenderaan terbiar di Selangor terus berlarutan walaupun pihak berkuasa tempatan (PBT) menerima pelbagai aduan daripada penduduk, susulan kekangan kuasa penguatkuasaan dan prosedur pelupusan yang rumit.
Bagi mengatasi masalah itu, Kerajaan Negeri kini berbincang dengan Kerajaan Persekutuan untuk meminda peruntukan undang-undang berkaitan pelupusan kenderaan, bagi mewujudkan mekanisme nasional yang lebih mudah, jelas dan berkesan.
Menurut EXCO Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kampung Baru Cina Selangor, Dato’ Ng Suee Lim, kelewatan pelupusan bukan disebabkan kelemahan PBT, sebaliknya berpunca daripada undang-undang lapuk serta prosedur berlapis melibatkan pelbagai agensi.
“Proses pelupusan bermula daripada tindakan menarik kenderaan hingga ke peringkat pelupusan rasmi melibatkan banyak agensi termasuk polis, JPJ dan syarikat insurans. Ia rumit dan memakan masa lama,” katanya kepada Selangor Media.
Beliau berkata isu kenderaan terbiar bukan sekadar menjejaskan imej bandar, malah memberi kesan kepada keselamatan komuniti dan penggunaan ruang awam.
“Kerajaan Negeri sedang bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi menyelaras garis panduan operasi seragam serta meminda akta berkaitan,” jelasnya.
Suee Lim berkata, walaupun PBT mempunyai kuasa menarik kenderaan, kekaburan dalam beberapa klausa undang-undang menyebabkan tindakan pelupusan sukar dilaksanakan kerana bimbang disaman oleh pemilik.
“Masih banyak kawasan kelabu dalam undang-undang. Kenderaan yang sudah ditarik pula terpaksa disimpan lama di garaj kerana proses pelupusan terlalu panjang,” ujarnya.
Beliau berharap Kerajaan Persekutuan memperkenalkan mekanisme baharu yang memberi kuasa jelas kepada PBT dan mengurangkan risiko tindakan undang-undang terhadap mereka.
Selangor sedia adaptasi model ‘sifar kenderaan terbiar’
Mengulas sama ada Selangor akan mencontohi program Zero Abandoned Vehicles in High-Rise Areas di Pulau Pinang, Ng berkata kerajaan negeri terbuka terhadap mana-mana pendekatan yang terbukti berkesan.
“Selagi dasar dan undang-undang yang digubal sah dan munasabah, Selangor sedia mengadaptasi model terbaik,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, masyarakat sering menyalahkan PBT tanpa mengetahui bahawa prosedur pelupusan amat rumit serta melibatkan banyak peringkat.
“Menarik kenderaan hanya langkah pertama. Cabaran sebenar muncul apabila pemilik tidak tampil menuntut kenderaan mereka, menyebabkan garaj penyimpanan penuh dan kos pengurusan meningkat,” katanya.






