ad

Tanggungjawab siapa hapus kenderaan terbiar?

22 Okt 2025, 1:50 AM
Tanggungjawab siapa hapus kenderaan terbiar?

SHAH ALAM, 22 Okt: Ramai pemilik kenderaan mengambil sikap sambil lewa dengan meninggalkan kenderaan rosak atau tidak lagi digunakan di tepi jalan dan parkir awam, menyebabkan isu kereta terbiar di Selangor semakin serius.

Namun, dalam keadaan kuasa penguatkuasaan terhad serta prosedur pelupusan yang rumit, pihak berkuasa tempatan (PBT) mengakui berdepan dilema “tak boleh ditarik, susah dilupuskan”, manakala garaj penyimpanan pula semakin sesak.

Ahli Majlis yang ditemui menjelaskan proses pelupusan kenderaan terbiar mengambil masa panjang, bermula daripada menampal notis hingga permohonan pelupusan.

Keseluruhan proses ini lazimnya mengambil masa sekurang-kurangnya tiga bulan atau lebih lama.

Kekangan tenaga kerja, kekurangan lori tunda dan ruang simpanan serta had kuasa penguatkuasaan turut menjadikan isu ini antara cabaran utama PBT di peringkat akar umbi.

Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Ong Yew Thai.

MBPJ: Lebih 600 kereta terbiar penuhi tiga garaj

Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Ong Yew Thai berkata pihaknya mempunyai tiga garaj penyimpanan kereta terbiar di Kota Damansara, PJU 8 Damansara Perdana dan Seksyen 10.

Namun, ketiga-tiganya yang hanya mampu menampung 280 kenderaan kini menyimpan 561 kereta, melebihi kapasiti lebih dua kali ganda.

“Masalah utama datang daripada sikap manusia. Ramai pemilik berpendapat menjual kereta tidak berbaloi lalu meninggalkannya begitu sahaja. Ada juga yang sengaja meminta PBT menarik kereta mereka, sekali gus menambah beban,” katanya.

Beliau menjelaskan, tindakan penarikan hanya dijalankan selepas notis amaran tujuh hari ditampal dan jika masih ada ruang di garaj.

“Bahagian paling sukar bukan menarik kenderaan, tetapi proses pelupusan yang panjang. Biasanya mengambil masa tiga hingga empat bulan sebelum boleh dilupuskan secara sah, menyebabkan garaj sentiasa penuh dan tiada ruang ganti.”

Kenderaan terlibat siasatan jenayah diserahkan kepada polis, manakala yang dilupus diserah kepada kontraktor dilantik kerajaan untuk dileraikan dan hasil jualannya digunakan bagi menampung kos operasi.

Tambah beliau, walaupun ada syarikat swasta menawarkan perkhidmatan pelupusan cepat, ramai pemilik masih mengabaikan tanggungjawab, menyebabkan ribuan kenderaan baharu ditinggalkan setiap tahun.

Ahli Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Tey Boon Kiat.

MBSJ: Prosedur rumit, garaj tidak cukup

Ahli Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Tey Boon Kiat berkata, MBSJ berdepan kekurangan ruang penyimpanan berikutan proses pelupusan yang rumit dan mengambil masa lama.

Tiga garaj sedia ada di Subang, Puchong dan Seri Kembangan hanya mampu menampung kira-kira 450 kenderaan.

Pada 2023, MBSJ menarik 1,200 kereta terbiar dan sehingga Ogos tahun ini, 690 lagi ditarik.

“Ramai penduduk tidak faham atau mengabaikan proses pelupusan. Kenderaan yang dibiarkan bukan sahaja mengambil ruang parkir, malah boleh menghalang lalu lintas dan menjadi tempat pembiakan nyamuk atau tikus,” katanya.

Beliau menjelaskan, bagi kawasan pangsapuri bertingkat, PBT tiada kuasa bertindak kerana ia tanggungjawab Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Badan Pengurusan (MC), manakala hanya kenderaan di kawasan awam boleh ditarik.

Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Dickson Tan . Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

MPKj: Simpanan lebih dua kali ganda kapasiti

Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Dickson Tan berkata, dua garaj di kawasan itu yang hanya mampu menampung 200 kenderaan kini menyimpan lebih 600 kereta, melebihi dua kali ganda kapasiti.

“Proses pelupusan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hingga empat bulan kerana perlu melalui beberapa peringkat seperti menampal notis, menyemak butiran pemilik dan menunggu respons,” katanya.

Beliau berkata sejak 2021, MPKj bekerjasama dengan Car Medic Sdn. Bhd. bagi melaksanakan sistem End-of-Life Vehicle (ELV) mengikut piawaian Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk memastikan pelupusan dilakukan secara sah dan tidak mencemarkan alam.

“Kenderaan yang menghalang lalu lintas akan segera ditarik, manakala bagi yang diletakkan di kawasan perumahan atau komersial, notis rasmi akan dikeluarkan sekurang-kurangnya dua kali sebelum tindakan diambil,” jelasnya.

Pasukan MBSJ menunda sebuah kenderaan terbiar dari kawasan perumahan.

Kuasa dan prosedur pelupusan PBT

Menurut garis panduan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), kenderaan terbiar di tempat awam boleh diambil tindakan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133):

• Denda Kesalahan: Seksyen 46(1)(e) — pemilik boleh didenda maksimum RM500.

• Kuasa Menarik: Seksyen 46(3)(a) — PBT boleh mengalihkan halangan (kenderaan terbiar) selepas notis dikeluarkan.

• Kuasa Melupus: Selepas semakan dengan agensi berkaitan (JPJ, PDRM, JPN, SSM, bank), PBT boleh memohon perintah mahkamah di bawah Seksyen 116 untuk pelupusan.

Proses keseluruhan lazimnya mengambil masa dua hingga empat bulan.

Pemandangan salah satu garaj simpanan MBPJ yang menempatkan kenderaan terbiar termasuk kereta, lori dan motosikal.

Langkah Pelupusan Kenderaan Terbiar:

1. Tampal notis amaran 7–14 hari.

2. Tarik kenderaan ke garaj PBT selepas tempoh tamat.

3. Sahkan status dengan agensi berkaitan.

4. Keluarkan notis akhir 14 hari kepada pemilik.

5. Mohon perintah mahkamah.

6. Laksanakan pelupusan secara sah.

Pratonton episod seterusnya

Menarik satu kereta hanyalah permulaan tapi ke mana akhirnya kenderaan itu pergi? Dalam laporan seterusnya, Media Selangor menjejak perjalanan sebuah kereta terbiar di pusat pelupusan sah Car Medic, bermula dari proses penarikan hingga dileraikan sepenuhnya.