SHAH ALAM, 22 OKT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menawarkan diskaun saman trafik sehingga 70 peratus bermula 1 November hingga 30 Disember 2025, sebagai peluang terakhir sebelum pelaksanaan kaedah baharu pembayaran saman pada 2026.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata langkah itu bertujuan mengurangkan tunggakan saman trafik yang kini dianggarkan mencecah RM6.6 bilion di seluruh negara, lapor Sinar Harian.
“Sekiranya tawaran ini mendapat sambutan baik, kita dapat mengurangkan beban tunggakan dengan ketara.
"Selepas tempoh ini, kedua-dua agensi iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan PDRM trafik akan menilai semula pendekatan penguatkuasaan terhadap mereka yang masih gagal membuat bayaran,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, di Bangunan Parlimen, hari ini.
Saifuddin menambah, kempen kesedaran jalan raya dan program pematuhan undang-undang akan terus digiatkan bagi membentuk budaya pemanduan berdisiplin serta bertanggungjawab dalam kalangan pengguna jalan raya.
Menurutnya, antara tahun 2022 hingga 2025, PDRM berjaya mengutip RM640 juta hasil bayaran saman menerusi pelbagai kempen diskaun.
Pada 2022, tawaran diskaun 50 peratus menyaksikan 327,369 saman diselesaikan dengan kutipan RM60.8 juta.
Tahun berikutnya, 2023, kadar sama diteruskan selain potongan khas RM50 bagi semua saman, melibatkan penyelesaian 2.7 juta saman dengan hasil RM211 juta.
Sementara pada 2024, diskaun pelbagai kadar antara 30 hingga 60 peratus berjaya menarik 678,000 penyelesaian saman, dengan jumlah kutipan RM119 juta.