SHAH ALAM, 30 MAC: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor mengeluarkan 6,688 notis hasil pemeriksaan terhadap 45,140 kenderaan sepanjang Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2026 yang berlangsung sejak 13 Mac hingga semalam.
Dalam tempoh itu, sebanyak 1,789 kenderaan diambil tindakan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, lapor Harian Metro.
Pengarah JPJ Selangor Azrin Borhan berkata seramai 334 anggota penguat kuasa digerakkan bagi melaksanakan pemantauan dan operasi di lokasi strategik termasuk lebuh raya utama, depoh bas, terminal awam serta kawasan berisiko tinggi.
“Kesalahan utama melibatkan Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh (1,058 kes), tiada lesen memandu sah (942), tiada insurans (728), kesalahan teknikal (919) dan lebih muatan (45 kes),” katanya.
Menurut beliau, tahap pematuhan kenderaan barangan terhadap larangan operasi menunjukkan peningkatan apabila hanya sembilan lori dikesan melanggar peraturan sepanjang empat hari penguatkuasaan.
Katanya, kebanyakan lori yang berada di jalan raya adalah dalam kategori dibenarkan termasuk membawa barangan keperluan harian dan kontena ke pelabuhan, manakala pergerakan lori tanpa muatan dibenarkan antara jam 8 pagi hingga 8 malam.
Azrin berkata JPJ akan terus memperkukuh penguatkuasaan bagi meningkatkan pematuhan undang-undang jalan raya dan mengurangkan risiko kemalangan.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat serta memandu secara berhemah, selain menyalurkan aduan melalui aplikasi MyJPJ atau e-mel rasmi JPJ.











