SHAH ALAM, 7 APR: Sebanyak 77 saman dikeluarkan dalam Op Motosikal (Samseng Jalanan) oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Kuala Langat, baru-baru ini.
Polis Daerah Kuala Langat memaklumkan operasi selama tiga hari dari 3 hingga 5 April itu dijalankan di sekitar Banting dan Bukit Changgang, melibatkan dua pegawai serta 18 anggota.
“Seramai 70 individu dan 55 motosikal diperiksa, manakala sembilan motosikal disita atas pelbagai kesalahan,” menurut kenyataan.
Antara kesalahan utama dikesan ialah menunggang tanpa lesen, bawah umur, tiada insurans serta pengubahsuaian ekzos dan struktur kenderaan.
Kesalahan lain termasuk lesen kenderaan motor tamat tempoh, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, tidak memakai topi keledar serta brek dan aksesori tidak sempurna.
PDRM menegaskan akan terus mempergiat operasi bagi membanteras samseng jalanan dan memastikan keselamatan awam terjamin.
“Ibu bapa diingatkan agar tidak membenarkan anak bawah umur menunggang motosikal serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat dan mematuhi undang-undang,” katanya.








