SHAH ALAM, 22 OKT: Kawasan pendakian Gunung Liang dalam daerah Perak Selatan ditutup kepada orang awam berkuat kuasa serta-merta sehingga suatu tarikh dimaklumkan kelak.
Jabatan Perhutanan Perak memaklumkan arahan penutupan dikeluarkan Pengarahnya, Datuk Mohd Basri Abdul Manaf.
Bagaimanapun katanya, arahan penutupan dikecualikan bagi penganjuran program jabatan seperti Program Konservasi Trek Pendakian dalam Hutan Simpanan Kekal seperti mana yang telah ditetapkan.
”Berpandukan Seksyen 47, Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985, ketidakpatuhan arahan ini boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekiranya disabitkan kesalahan,” katanya dalam kenyataan.
Pada 16 Oktober, pendaki Mustaqqeem Mansor, 34, ditemukan meninggal dunia pada jam 3.30 petang di puncak Gunung Liang Barat dekat Tanjong Malim.
Dia bersama-sama 10 rakan memulakan pendakian pada 10 Oktober dari Bukit Fraser, Pahang dan kali terakhir dilihat pada 14 Oktober.
Jenazah dibawa keluar dari puncak gunung berketinggian 1,933 meter menggunakan helikopter AW189 oleh Pasukan Khas Udara Bomba pada 2.45 petang 17 Oktober.
Keputusan bedah siasat mengesahkan punca kematian disebabkan hipotermia.
Setakat 19 Oktober, lapan individu terdiri daripada peserta dan rakan pendaki mangsa sudah dipanggil untuk membantu siasatan berhubung insiden itu.