ad

‘Puncak Gunung Liang ada line, jika lapor awal mungkin arwah selamat’

21 Okt 2025, 9:18 AM
‘Puncak Gunung Liang ada line, jika lapor awal mungkin arwah selamat’

SHAH ALAM, 21 OKT: Anggota penyelamat mendakwa terdapat liputan rangkaian telefon di puncak Gunung Liang, lokasi pendaki, Mustaqqeem Mansor, 34, ditemui meninggal dunia baru-baru ini.

Menurut anggota bomba yang juga individu terawal tiba di puncak, Marazman Mohamad, 38, nasib mangsa mungkin berbeza sekiranya maklumat awal diterima daripada pendaki lain ketika kejadian.

“Sepanjang perjalanan, ada liputan rangkaian sejak dari kem 7E. Kemudian naik lagi, di beberapa ‘checkpoint’ pun masih ada liputan, malah di puncak juga ada.

“Ketika saya menemui arwah, saya terus buat laporan dari sana (guna line Celcom). Saya menghubungi dan menghantar maklumat melalui WhatsApp kepada pusat gerakan.

“Sebab itu saya kata liputan memang ada. Kalau maklumat awal diterima, insya-Allah mungkin arwah dapat diselamatkan,” katanya kepada Media Selangor.

Marazman berkongsi semula detik memilukan itu selepas perkongsiannya tular di media sosial sejak semalam.

Anggota bomba yang berpangkalan di Balai Bomba dan Penyelamat Tapah, Perak itu memaklumkan, beliau bersama seorang anggota polis dikenali sebagai Sarjan Lan mengambil masa lima jam untuk tiba di puncak Gunung Liang pada 16 Oktober lalu.

Kedua-duanya tiba di puncak sekitar jam 3.30 petang sebelum ternampak sesuatu di bawah struktur beirut (penanda puncak).

“Kami nampak macam kepala orang sedang tidur. Kami memanggil nama Mustaqqeem beberapa kali namun tiada sahutan. Ketika itu perasaan kami semakin berdebar memikirkan segala kemungkinan.

“Sarjan Lan kemudian memaklumkan bahawa berdasarkan keadaan yang kami temui, mangsa berkemungkinan sudah tidak bernyawa,” ujarnya yang juga malim pergunungan perhutanan (MGP) Perak.

Jenazah Mustaqqeem berjaya dibawa turun dari puncak Gunung Liang menggunakan helikopter Unit Udara Bomba. Foto Facebook Bomba

Beliau kemudian segera membuat laporan ke Pusat Gerakan Bomba (PGO) dan Pos Kawalan Pasukan (PKPK) mengenai penemuan itu.

“Memang sangat sedih bila jumpa dalam keadaan begitu. Saya bayangkan bagaimana nak beritahu ahli keluarga, isteri dan rakan-rakannya.

“Saya panggil nama dia beberapa kali, harap ada respons. Tengok tangan dia macam tengah genggam, saya doa tangan tu bergerak. Tapi tak ada tindak balas,” katanya sebak.

Marazman berkata, pasukannya tidak bermalam di lokasi kerana tidak membawa kelengkapan sesuai. Mereka memohon bantuan Unit Udara Bomba untuk menguruskan jenazah pada hari sama, namun keadaan cuaca tidak mengizinkan.

“Kami minta helikopter dihantar, tapi cuaca masa itu tidak mengizinkan. Akhirnya kami turun semula dan pasukan gantian naik untuk tunggu jenazah di atas,” jelasnya.

Tambahnya, setiap operasi mencari dan menyelamat (SAR) memberi pengalaman berbeza, namun kejadian kali ini meninggalkan kesan mendalam dalam hidupnya.

“Selama ini saya mencari orang hilang, biasanya mereka ditemui selamat. Tapi kali ini… Allah lebih sayangkan dia (Mustaqeem),” katanya dalam nada sebak.

Marazman dan Sarjan Lan antara 22 anggota penyelamat yang menyertai misi SAR mencari Mustaqqeem selepas laporan kehilangan dibuat isterinya.

Marazman (dua, kanan) bersama anggota penyelamat yang terlibat dalam misi mencari dan menyelamat Mustaqqeem di puncak Gunung Liang. Foto Facebook Bomba

Mangsa bersama 10 rakan memulakan pendakian dari Bukit Fraser, Pahang pada 10 Oktober lalu dan dijadualkan turun di Gunung Liang. Namun, kali terakhir dia dilihat pada Selasa sekitar jam 10.30 malam di puncak Gunung Liang Barat dalam keadaan sakit kaki dan berjalan perlahan.

Mayat Mustaqqeem ditemui sekitar jam 3.30 petang, 16 Oktober di puncak Gunung Liang. Jenazahnya dibawa keluar dari gunung berketinggian 1,933 meter itu menggunakan helikopter AW189 milik Pasukan Khas Udara Bomba pada 17 Oktober.

Polis mengesahkan kematian Allahyarham berpunca daripada hipotermia (kesejukan melampau) berdasarkan hasil bedah siasat di Hospital Slim River.