SHAH ALAM, 20 OKTOBER: Semua pihak dinasihatkan untuk tidak terburu-buru menyalahkan Malim Gunung Perhutanan (MGP) dalam insiden kematian pendaki Mustaqqeem Mansoor yang ditemukan meninggal dunia di puncak Gunung Liang, Tanjung Malim baru-baru ini.
Menurut Sabrie Zoo, 44, yang memiliki pengalaman lebih 27 tahun sebagai malim gunung Gunung Tahan, adalah tidak adil untuk menuding jari kepada dua MGP yang terlibat tanpa menunggu hasil siasatan rasmi.
“Saya agak terkilan apabila ada pihak mendakwa seorang MGP meninggalkan seorang pendaki di puncak Gunung Liang hingga menyebabkan mangsa meninggal dunia dalam keadaan kesejukan melampau,” katanya dipetik Berita Harian.
Beliau menegaskan bahawa semua MGP telah melalui latihan intensif untuk memastikan keselamatan pendaki sentiasa menjadi keutamaan, justeru sebarang tuduhan harus berdasarkan siasatan lengkap dan bukannya persepsi.
"Kita tidak boleh membuat tuduhan melulu sebelum mendengar penjelasan sebenar daripada MGP terbabit, keadaan menjadi lebih keruh disebabkan banyak cerita muncul yang belum tentu kesahihannya,” katanya.
Meskipun bukan anggota rasmi MGP, Sabrie menjelaskan tugas dan tanggungjawabnya sebagai malim gunung tidak jauh berbeza, malah sering berdepan risiko keselamatan ketika mengiringi pendaki.
Tambahnya lagi, tuduhan tidak berasas boleh menjejaskan imej serta keselamatan ahli keluarga MGP yang terlibat.
Sabrie turut mengkritik kenyataan sesetengah pihak yang tidak arif dalam bidang malim gunung tetapi mengulas seolah-olah mengetahui situasi sebenar, sekali gus mencetuskan kekeliruan umum.
Tempias tuduhan tersebut turut dirasai oleh rakan-rakan Mustaqqeem yang bersama menyertai ekspedisi berkenaan, apabila ada yang menganggap mereka turut gagal menjaga keselamatan arwah.
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) memaklumkan bahawa pihaknya akan menjalankan siasatan menyeluruh dengan menemu bual dua MGP terbabit sebelum menyerahkan laporan penuh kepada Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia.
Insiden malang itu dilaporkan berlaku pada 10 Oktober lalu apabila Mustaqqeem, 34, memulakan pendakian ke Gunung Liang bersama 10 rakan lain dari laluan Bentong, Pahang.
Namun, Mustaqqeem tidak pulang selepas tamat aktiviti mendaki menyebabkan isterinya membuat laporan polis mengenai kehilangan tersebut.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dilancarkan. Mayat mangsa ditemui sekitar jam 3.30 petang, Khamis lalu di puncak Gunung Liang.