ad

Tragedi Gunung Liang: Malim gunung tampil jelaskan situasi sebenar malam kejadian

21 Okt 2025, 1:26 PM
Tragedi Gunung Liang: Malim gunung tampil jelaskan situasi sebenar malam kejadian
Tragedi Gunung Liang: Malim gunung tampil jelaskan situasi sebenar malam kejadian

SHAH ALAM, 21 OKT: Malim Gunung Perhutanan (MGP) yang menemani Mustaqqeem Mansoor, 34, sebelum lelaki itu ditemukan meninggal dunia di puncak Gunung Liang Barat, Muallim, Perak, mendedahkan arwah beberapa kali meluahkan rasa takut pada hari terakhir pendakian.

Rahimi, 50, berkata Allahyarham tidak menjelaskan apa yang menimbulkan ketakutan itu, namun kelihatan tidak tenang sepanjang perjalanan menuruni gunung pada malam kejadian.

“Walaupun arwah mengalami kekejangan otot, dia masih boleh berjalan secara perlahan menyebabkan kami jauh ketinggalan dengan kumpulan pertama dan kedua.

“Ekspedisi Trans Temangkok kali ini dijalankan secara ‘compress’, hanya tiga hari berbanding kebiasaan empat hingga lima hari. Faktor terlalu mengejar masa mungkin menyebabkan arwah tertekan dan kepenatan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Menurut Rahimi, beliau mengiringi Mustaqqeem sejak hari pertama pendakian dan sejurus tiba di puncak Gunung Liang pada hari ketiga, mereka memutuskan untuk turun sekitar jam 10.30 malam selepas berehat dan menjamu selera.

Katanya, arwah kelihatan semakin lemah namun masih mampu berjalan perlahan sambil memerhati kawasan sekeliling seolah-olah ada sesuatu menarik perhatiannya.

“Saya ada bertanya dan arwah menyatakan dia melihat akar pokok bagi mengelak tersangkut kaki. Saya kemudian turun terlebih dahulu bagi meninjau laluan sambil menunggu arwah.

“Saya dapat melihat dengan jelas lampu yang digunakan arwah bergerak menuruni puncak Gunung Liang ketika hujan lebat dan cuaca sejuk. Saya bergerak perlahan sambil menunggunya.

“Saya yakin arwah dapat turun tanpa masalah, dan pada masa sama saya cuba mencari kawasan yang ada talian telefon untuk menghubungi seorang lagi MGP serta penganjur,” katanya.

Beliau yang bertindak sebagai ‘sweeper’ menegaskan tidak berniat meninggalkan mangsa, sebaliknya menunggu di beberapa lokasi termasuk di Kem 7E.

“Saya tidak menolak kemungkinan arwah naik semula ke puncak Gunung Liang selepas beberapa meter turun. Namun, saya sudah terlalu penat dan mengalami kecederaan jari kaki hingga terpaksa menggunakan selipar untuk meneruskan perjalanan.

“Tak sangka kegembiraan berjaya menawan puncak Gunung Liang bertukar tragedi. Ia menjadi sejarah hitam dalam hidup saya selepas dua tahun sebagai MGP dan lebih 10 tahun aktif dalam aktiviti pendakian,” katanya yang menerima bayaran RM850 bagi tempoh tiga hari ekspedisi tersebut.