Tangani isu mikroplastik, Selangor rangka Pelan Tindakan Pengurangan Plastik Sekali Guna

27 Feb 2026, 7:01 AM
Tangani isu mikroplastik, Selangor rangka Pelan Tindakan Pengurangan Plastik Sekali Guna
Tangani isu mikroplastik, Selangor rangka Pelan Tindakan Pengurangan Plastik Sekali Guna

SHAH ALAM, 27 FEB: Kerajaan Negeri sedang merangka Pelan Tindakan Pengurangan Plastik Sekali Guna yang akan dibangunkan tahun ini sebagai langkah lebih komprehensif bagi menangani isu penggunaan bahan berkenaan.

EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata pelan tersebut merangkumi pengurangan penggunaan bekas pembungkusan makanan dan minuman plastik termasuk styrofoam atau polistirena.

“Usaha ini dilaksanakan bagi menjadikan Selangor bebas plastik sekali guna menjelang 2030 melalui larangan berperingkat serta pemerkasaan komuniti dan pihak industri,” katanya kepada Media Selangor.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri kini berada di peringkat akhir meminda Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian bagi membolehkan kutipan caj beg plastik dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan seragam.

“Pindaan ini bertujuan menyeragamkan pelaksanaan kutipan caj beg plastik di semua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor,” katanya.

Perkukuh advokasi melalui kempen

Dalam pada itu, Jamaliah berkata Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar tahun lalu telah menganjurkan tiga siri Kempen Bebas Plastik di Sepang, Klang dan Sabak Bernam sebagai komitmen memperkukuh agenda kelestarian alam sekitar.

EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin. Foto Facebook Jamaliah Jamaluddin

“Program ini merupakan langkah advokasi berterusan terhadap pengurangan penggunaan plastik, selain memperkasakan amalan kitar semula dan gaya hidup lebih mesra alam dalam kalangan masyarakat.

“Penganjuran kempen ini juga bertujuan mendidik orang ramai tentang kesan jangka panjang sisa plastik terhadap alam sekitar, ekosistem dan kesihatan awam,” katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan keberkesanan kempen, semua peniaga di tapak program tidak menggunakan beg plastik dan sebarang bekas plastik sepanjang penganjuran berlangsung.

“Dalam ketiga-tiga kempen tersebut, program dilaksanakan sepenuhnya tanpa penggunaan plastik. Daripada bekas dan penyedut minuman hingga kepada pinggan, cawan dan sudu garpu, semuanya digantikan dengan bahan mesra alam atau boleh diguna semula,” katanya.

Menurutnya, pendekatan itu bukan sahaja berjaya mengurangkan sisa plastik, malah meningkatkan kesedaran peserta mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.

Orang ramai dinasihatkan untuk membawa bekas makanan sendiri semasa berkunjung ke bazar Ramadan. Foto AI

Nasihat kepada pengunjung bazar Ramadan

Dalam perkembangan sama, Jamaliah menasihatkan orang ramai khususnya pengunjung bazar Ramadan supaya membawa bekas makanan sendiri serta beg guna semula bagi mengurangkan penggunaan plastik sekali guna dan polistirena.

“Langkah ini dapat membantu memelihara kebersihan alam sekitar dan mengurangkan pencemaran,” katanya.

Terdahulu, Media Selangor melaporkan pembungkusan makanan panas dalam bekas plastik atau polistirena mendedahkan pengguna kepada mikroplastik.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan dan Khidmat Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Siti Nurhayati Khairatun berkata, kaedah pembungkusan itu berisiko menyebabkan partikel plastik meresap ke dalam makanan kerana strukturnya mudah terurai serta tidak stabil apabila terdedah kepada haba.