SHAH ALAM, 21 OKT: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Dato’ Seri Amirudin Shari menyeru jentera parti memperhebat usaha mendekati seramai mungkin pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Beliau menegaskan kemenangan hanya dapat dicapai jika jentera benar-benar mengenali, memahami dan menjiwai hati nurani rakyat di setiap kawasan yang ditandingi.
“Alhamdulillah, saya amat berpuas hati melihat kesungguhan dan kesiapsiagaan jentera Dewan Undangan Negeri (DUN) Karamunting yang telah memulakan gerak kerja lebih awal, malah ada yang turun padang sejak tiga bulan lalu.
“Ini membuktikan komitmen serta semangat juang tinggi dalam memastikan kemenangan berpihak kepada parti. Faktor paling penting dalam menghadapi mana-mana pilihan raya ialah keupayaan kita mengenali, memahami dan mendekati hati nurani pengundi.
“Teruskan usaha mendekati seramai mungkin pengundi, yakinkan mereka bahawa DUN Karamunting akan menjadi salah satu kerusi kebanggaan KEADILAN di bumi Sabah,” katanya menerusi Facebook.

Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor berkata demikian selepas menamatkan kunjungan kerjanya di Sandakan semalam dengan melawat Bilik Gerakan Utama (BGU) DUN Karamunting.
Turut hadir Ahli Parlimen Gopeng Tan Kar Hing, Ketua Cabang Batu Sapi Aris Remigius serta wakil calon Datuk Chew Kok Woh.
Selain aktiviti parti, Amirudin turut menghadiri Himpunan Solidariti Palestin Sandakan di Dataran Plaza Harbour Mall, anjuran Persatuan Islam Sabah dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Program berkenaan turut dihadiri beberapa pemimpin kerajaan termasuk Timbalan Menteri Zulkifli Hasan dan Datuk Mustapha Sakmud.
Lawatan beliau ke Sabah bermula di pusat operasi DUN Libaran bagi meninjau kesiapsiagaan jentera pilihan raya bersama kepimpinan negeri.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 November depan sebagai hari pengundian PRN Sabah ke-17, dengan penamaan calon pada 15 November dan pengundian awal pada 25 November.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari, bermula selepas pengisytiharan calon pada 15 November hingga jam 11.59 malam, 28 November.