SELAYANG, 21 OKT: Kerajaan Negeri menerusi Majlis Perbandaran Selayang (MPS) memperkukuh usaha ke arah pengiktirafan Geopark Global UNESCO dengan menaik taraf Kolam Air Panas Selayang, salah satu tapak utama dalam Geopark Gombak–Hulu Langat (GHL).
Ahli Majlis Zon 12 MPS, U Chin Ong berkata, kerja naik taraf bernilai RM4.5 juta itu bermula 5 September lalu dan dijangka siap 21 Ogos 2026, menjelang lawatan penilai UNESCO Ogos tahun depan.
“Apabila siap kelak, Kolam Air Panas Selayang akan menjadi mercu tanda baharu MPS serta tarikan utama Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Projek berkonsepkan resort itu akan memperluas kolam sedia ada daripada tiga kepada tujuh, termasuk kolam khas wanita dan kanak-kanak, kelab rekreasi, bilik persalinan, kafe, kawasan rehat serta laluan joging dengan kapasiti sehingga 800 pengunjung sehari.
Menurut beliau, sebelum ditutup, kolam berkenaan menerima kira-kira 400 hingga 500 pengunjung setiap hari dan air panas bersulfur di situ dipercayai membantu merawat masalah kulit.
“Cadangan turut dikemuka bagi menambah baik struktur bayaran masuk, caj parkir dan memperkenalkan pas bulanan bagi pengguna tetap,” katanya.
Sementara itu, ahli Jawatankuasa Geopark Zon Taman Desa Templer, Zorkafli Aziz, berkata projek tersebut tidak menjejaskan sumber air bawah tanah sebaliknya menambah baik sistem aliran air dari punca utama bagi menstabilkan suhu kolam.
Katanya, banjaran kuarza sepanjang 14 kilometer dalam kawasan Geopark telah diiktiraf UNESCO sebagai yang terpanjang di dunia, dan sebarang pembangunan di kawasan itu dihadkan kepada aktiviti pelancongan.
“Kerja naik taraf ini menyokong hasrat MPS menaik taraf status kepada Majlis Bandaraya dan menggalakkan pelancongan mampan yang memberi manfaat kepada penduduk setempat,” katanya.
GHL Geopark seluas 112,955 hektar itu diisytiharkan DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Geopark Kebangsaan pertama di negeri ini pada 2024. Ia merangkumi 31 tapak geologi dan 20 kawasan eko-pelancongan yang dikenal pasti berpotensi tinggi.
Kerajaan Negeri menyasarkan pengiktirafan Geopark Global UNESCO menjelang 2028.