Isu sampah haram: Ahli majlis cadang sediakan 60 tong baharu

14 Jan 2026, 7:55 AM
Isu sampah haram: Ahli majlis cadang sediakan 60 tong baharu
Isu sampah haram: Ahli majlis cadang sediakan 60 tong baharu

SELAYANG, 14 JAN: Ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Zon 23 bercadang menyediakan kira-kira 60 kemudahan tong sampah kepada peniaga sekitar Taman Wangsa Permai Fasa 2 bagi mengekang masalah pembuangan sampah haram di kawasan itu.

Tan Teong Guan berkata susulan aduan diterima minggu lalu, pihaknya mengenalpasti tiga kawasan tumpuan pembuangan sampah haram sekitar kawasan itu melibatkan Jalan Wangsa 2/6, Jalan Wangsa 3/7 dan Jalan Wangsa 3/8.

Menurutnya, kawasan berkenaan dicemari sisa domestik, sampah pukal serta sisa binaan secara tidak terkawal susulan tindakan tidak bertanggungjawab segelintir individu yang membuang sampah di situ.

Jelasnya, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyediakan tong untuk pembuangan sampah domestik di kawasan berkenaan, namun disalahguna oleh pihak tidak bertangggungjawab untuk membuang sampah pukal serta domestik.

“Cadangan saya adalah supaya tempat pembuangan sampah ini ditutup dan kita akan bekalkan kira-kira 60 tong sampah kepada peniaga di kawasan ini supaya lori sampah boleh ambil dari premis mereka.

Ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Zon 23 Tan Teong Guan. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

“Untuk tujuan itu, kemungkinan saya akan gunakan peruntukan saya atau cuba mohon daripada pihak majlis dan perkara ini akan saya majukan kepada pihak majlis secepat mungkin,” katanya selepas tinjauan ke kawasan pembuangan sampah haram di sini, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan tinjauan dan pemerhatian ada pihak tidak bertanggungjawab dari luar kawasan berkenaan turut bertindak membuang sampah di sekitar kawasan itu terutama melibatkan sampah pukal dan sisa binaan atau industri.

“Kita percaya sebenarnya pendidikan adalah penting, mereka perlu tahu KDEBWM ada sediakan lori untuk sampah pukal. Jadi saya juga akan beritahu pada peniaga supaya buang sampah pukal pada hari kutipan sepatutnya,” katanya.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengarahkan semua pejabat daerah memberi tumpuan terhadap beberapa isu setempat, termasuk menyegerakan dan memuktamadkan isu pembuangan sampah haram di negeri ini.

Pada Disember, Kerajaan Negeri mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengumpul data lengkap kawasan 'hotspot' pembuangan sampah haram dalam tempoh seminggu, susulan isu kebersihan awam yang dibangkitkan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Bernama pada Disember lalu melaporkan Sultan Sharafuddin menerima banyak aduan mengenai keadaan kotor di Selangor, menegaskan bahawa baginda mahu perancangan segera dilakukan untuk membersihkan negeri itu.

Baginda bertitah peningkatan ketara aduan lengkap dengan nama serta maklumat untuk dihubungi, menunjukkan rakyat benar-benar mahukan tindakan susulan, sekali gus mencerminkan tahap keprihatinan awam yang semakin tinggi terhadap isu kebersihan bandar.

Petugas KDEB Waste Management mengutip sampah di sekitar Jalan Wangsa Permai, Kepong pada 14 Januari 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR