ad

85 peratus pemilik hartanah Selayang jelaskan cukai taksiran penggal pertama

2 Sep 2025, 4:24 AM
85 peratus pemilik hartanah Selayang jelaskan cukai taksiran penggal pertama

SHAH ALAM, 2 SEPT: Sebanyak 85 peratus pemilik hartanah di Selayang menjelaskan cukai taksiran bagi penggal pertama tahun ini, meskipun timbul bantahan awal terhadap kenaikan cukai berkenaan.

Menurut yang dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), pada awalnya pihaknya menerima tentangan bagi kadar baharu itu melibatkan 40,000 penduduk, jumlah tertinggi di Selangor.

Bagaimanapun, Shahman Jalaludin menjelaskan sesi libat urus yang diadakan bersama penduduk berjaya meredakan kebimbangan tersebut, lapor Malay Mail.

“Memang kita jangka ada tentangan apabila kadar baharu diumumkan.

“Tetapi apabila ia dikuatkuasakan Januari lalu, penduduk mula faham kenapa kita perlu naikkan kadar cukai taksiran,” katanya.

Kadar baharu cukai taksiran berkuat kuasa 1 Januari selepas Kerajaan Negeri meluluskan semakan semula 25 peratus ke atas di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) pada Disember lalu. MPS kali terakhir menyemak kadar berkenaan pada 1992.

Shahman menambah, hasil tambahan daripada kutipan cukai itu digunakan untuk memperkukuh infrastruktur digital Selayang di bawah Fasa 1 pelan Bandar Pintar termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) pintar di lokasi tumpuan bagi meningkatkan aspek keselamatan dan penguatkuasaan.

Bagi memasuki Fasa 2, katanya, MPS merancang memperluas stesen pengecas kenderaan elektrik, menambah baik perkhidmatan mikromobiliti serta memperkenalkan pemantauan kualiti udara secara masa nyata.

“Apa sahaja hasil kutipan cukai taksiran, kita pulangkan semula kepada rakyat dengan menjadikan Selayang lebih baik,” ujarnya.

Daripada segi hasil, beliau berkata MPS juga bakal mendapat manfaat menerusi pelaksanaan sistem parkir pintar Selangor (SIP) yang menyelaras pengurusan parkir jalan di beberapa PBT terpilih.

Menerusi SIP, kadar caj parkir tidak berubah tetapi hasil dikongsi bersama iaitu 50 peratus kepada konsesi, 40 peratus kepada PBT dan 10 peratus kepada anak syarikat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) iaitu Rantaian Mesra Sdn Bhd.

“Setakat ini, MPS sudah empat kali berunding dengan pihak konsesi. Kita telah bersetuju menandatangani surat penerimaan dan kini menunggu maklum balas syarikat berkenaan.

“Dengan pemantauan lebih sistematik, kita jangka hasil parkir akan meningkat. Kalau hasil sama saja, tidak perlulah kita laksanakan SIP,” katanya.

Shahman menjelaskan hanya pegawai MPS boleh mengeluarkan kompaun kesalahan walaupun kakitangan syarikat konsesi membuat rondaan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.