ad

Kes tikam pelajar: Tempoh reman suspek dilanjut seminggu lagi

21 Okt 2025, 2:34 AM
Kes tikam pelajar: Tempoh reman suspek dilanjut seminggu lagi

SHAH ALAM, 21 OKT: Tempoh reman terhadap suspek yang ditahan berhubung kes pelajar perempuan maut ditikam di sebuah sekolah di Bandar Utama, dilanjutkan seminggu lagi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat, berkata lanjutan reman sehingga Selasa depan itu diberikan Mahkamah Majistret Petaling Jaya pagi tadi, katanya dipetik Berita Harian.

Semalam, Shamsudin memaklumkan pihaknya akan memohon lanjutan perintah reman terhadap suspek berikutan tempoh reman sebelum ini tamat hari ini.

Beliau turut memaklumkan kertas siasatan kes itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya esok bagi mendapatkan arahan lanjut.

Terdahulu, media melaporkan seorang remaja perempuan, Yap Shing Xuen, 16, maut akibat ditikam di sekolahnya di Bandar Utama pada Selasa lalu.

Suspek yang juga rakan sekolah mangsa, seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun, ditahan pada hari kejadian.

Polis turut merampas dua senjata tajam yang ditemui bersama suspek dan dipercayai digunakan dalam serangan tersebut.

Pada sidang media Khamis lalu, ibu mangsa, Wong Lee Ping, memaklumkan anak perempuannya ditikam kira-kira 200 kali.

Semalam, ratusan ahli keluarga dan rakan-rakan rapat mangsa hadir untuk memberi penghormatan terakhir dalam suasana penuh hiba ketika keranda mendiang dibawa ke krematorium Nirvana Shah Alam.

Sebelum itu, upacara penghormatan terakhir diadakan di Pusat Memorial Nirvana 2, yang mana 100 belon biru dan putih, warna kegemaran Yap dilepaskan ke udara sebagai simbol restu dan kenangan terhadap remaja berkenaan.