SHAH ALAM, 21 OKT: Selangor terus memperkukuh usaha menjaga kebajikan warga emas melalui pendekatan pencegahan awal kesihatan bagi memastikan mereka menjalani proses penuaan dengan sihat dan bermaruah.
Dengan lebih 822,000 warga emas atau 11.4 peratus daripada jumlah penduduk negeri, Selangor berdepan cabaran masyarakat menua yang semakin ketara, sekali gus meningkatkan risiko penyakit kronik, kelemahan fizikal dan keperluan penjagaan jangka panjang.
Bagi menangani situasi itu, Kerajaan Negeri melaksanakan Program Saringan Kesihatan Warga Emas Selangor, inisiatif berasaskan komuniti bagi mengesan risiko sejak awal dan membantu warga emas menjaga kesihatan sendiri sebelum penyakit menjadi serius.
EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata langkah proaktif itu selaras dengan prinsip bahawa pencegahan jauh lebih berkesan dan menjimatkan berbanding rawatan lewat.

“Selangor mempunyai bilangan warga emas tertinggi di Malaysia. Ini datang bersama tanggungjawab besar untuk membina sistem kesihatan lestari, khususnya dalam menangani penyakit kronik dan memastikan pengesanan awal,” katanya kepada Media Selangor baru-baru ini.
Saringan kesihatan bantu cegah kelemahan fizikal
Setakat Oktober, program saringan yang dilaksanakan di Kuala Langat, Gombak, Petaling, Klang, Sabak Bernam dan Kuala Selangor melibatkan 1,153 peserta.
Daripada jumlah itu, 37 peratus dikenal pasti berada dalam kategori pra-lemah atau lemah, manakala 35 peratus mengalami kekurangan zat atau berisiko malnutrisi.
Mereka dirujuk ke klinik kesihatan berhampiran untuk rundingan perubatan, nasihat pemakanan serta rawatan susulan bagi memastikan penjagaan berterusan.
“Kita mahu warga emas menerima penjagaan yang menyeluruh dan berterusan, bukan hanya selepas keadaan menjadi serius,” kata Jamaliah.
“Pencegahan kelemahan memerlukan pendekatan holistik pemakanan seimbang, senaman berasaskan daya tahan serta penglibatan aktif dalam aktiviti sosial. Ketiga-tiganya penting untuk kesihatan fizikal, mental dan kualiti hidup.”
Sebagai galakan penjagaan kendiri, setiap peserta menerima diari senaman dan pemakanan serta jalur rintangan untuk digunakan di rumah bagi mengamalkan gaya hidup aktif.
“Langkah ini membantu memperlahankan proses penuaan, mengekalkan keupayaan harian dan mengurangkan kebergantungan kepada penjaga,” katanya sambil menambah pemeriksaan susulan dibuat dalam tempoh dua minggu di klinik berhampiran.

Jamaliah menegaskan, pengesanan dan intervensi awal bukan sahaja meningkatkan hasil kesihatan, malah mengurangkan kemasukan ke hospital serta beban keluarga dan sistem awam.
Namun beliau mengakui tahap kesedaran masyarakat terhadap risiko kesihatan berkaitan usia masih rendah.
“Ramai hanya mendapatkan rawatan apabila gejala menjadi teruk. Sebab itu kita mahu galakkan penjagaan pencegahan sebelum usia 60 tahun,” jelasnya.
Beliau turut mencadangkan program senaman warga emas dan pendidikan kesihatan diperluas serta akses kepada fisioterapi dipertingkatkan, khususnya bagi pesakit sendi seperti osteoartritis, antara tiga penyakit paling banyak dikesan dalam saringan.
Kerajaan Negeri juga memperkukuh jaringan dengan NGO, penyedia kesihatan dan institusi penyelidikan bagi memastikan capaian dan kelestarian program, di samping memperluas kesedaran bahawa penuaan aktif memerlukan penyertaan semua pihak.
“Penuaan aktif tidak boleh dicapai oleh kerajaan semata-mata. Ia memerlukan sokongan komuniti, tenaga pakar dan penglibatan masyarakat,” tegas Jamaliah.
Pencegahan sejak pertengahan usia kunci penuaan berkualiti
Setiausaha Kehormat Persatuan Penuaan Sihat Malaysia (MHAS) Dr Sangeeta Kaur Darshan Singh berkata peningkatan populasi warga emas di Malaysia memerlukan perhatian segera terhadap penyakit tidak berjangkit (NCD) serta masalah seperti kelemahan, sarkopenia dan demensia yang sebahagian besarnya boleh dicegah melalui tindakan awal.

“Masalah seperti kehilangan otot dan mobiliti boleh mempercepatkan kelemahan dan kemerosotan kognitif sehingga membawa kepada kebergantungan,” katanya.
“Intervensi perlu dibuat sebelum kemerosotan fungsi bermula, sebaiknya pada usia pertengahan, ketika individu masih aktif dan boleh membina daya tahan melalui gaya hidup sihat.”
Beliau menjelaskan sarkopenia, iaitu kehilangan kekuatan dan fungsi otot, sering disalah anggap sebagai sebahagian normal proses penuaan walaupun sebenarnya boleh dicegah.
“Ramai hanya menyedarinya apabila mereka mula sukar menaiki tangga, membawa barang atau mengekalkan keseimbangan,” jelasnya.
Menurut Dr Sangeeta, langkah pencegahan utama termasuk:
senaman rintangan dan keseimbangan berkala
pengambilan protein dan vitamin D mencukupi
saringan kesihatan berkala bagi individu 50 tahun ke atas

Beliau turut menyarankan supaya kempen kesedaran awam dan program senaman komuniti digabung dengan penjagaan primer bagi mengekalkan keupayaan berdikari warga emas.
“Kami menyambut baik inisiatif saringan kesihatan warga emas Selangor sebagai contoh dasar proaktif yang berpaksikan pencegahan dan data,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan hasil saringan perlu disusuli intervensi bermakna.
“Setiap program saringan mesti dilengkapi sistem rujukan dan susulan berkesan agar mereka yang berisiko menerima rawatan tepat pada masanya, sokongan pemulihan komuniti serta panduan pemakanan dan gaya hidup sihat,” katanya.
“Pendekatan menyeluruh ini bukan sahaja mengelakkan keadaan menjadi serius, malah mengurangkan kemasukan ke hospital serta memupuk kehidupan lebih sihat dan berkualiti.
“Penuaan bukan isu kesihatan semata-mata, tetapi isu masyarakat. Matlamat kita ialah membina komuniti mesra warga emas di mana penjagaan kesihatan, perancangan bandar dan penyertaan sosial bergerak seiring demi mengekalkan maruah dan kebebasan warga emas,” katanya.