ad

Ops Selamat PaPa usaha perangi rokok dan vape demi generasi sihat

20 Sep 2025, 1:51 AM
Ops Selamat PaPa usaha perangi rokok dan vape demi generasi sihat

SHAH ALAM, 20 SEPT: Selangor melancarkan Ops Selamat Paru-Paru (PaPa) 2025 bagi membanteras tabiat merokok dan penggunaan rokok elektronik (vape), khususnya dalam kalangan generasi muda.

Program itu simbolik komitmen Selangor menjayakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang menekankan aspek penguatkuasaan, advokasi serta pendidikan kesihatan awam.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata usaha itu juga menggambarkan kesungguhan kerajaan melindungi kesejahteraan rakyat untuk membina budaya hidup sihat dan bebas asap rokok.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin merasmikan program Ops Selamat Paru-Paru (PaPa) Peringkat Negeri Selangor 2025 di Hospital Cyberjaya pada 18 September 2025. Foto Facebook Jamaliah Jamaluddin

"Diharapkan Ops Selamat PaPa akan menjadi pemangkin kepada kesedaran yang lebih mendalam tentang bahaya rokok dan vape, seterusnya mengukuhkan langkah pencegahan demi generasi yang lebih sihat pada masa hadapan," katanya menerusi Facebook.

Akta 852 diperkenal untuk memperkukuhkan kawalan terhadap penjualan, pengiklanan, dan promosi semua produk merokok termasuk vape di Malaysia, khusus bagi individu bawah 18 tahun.

Selain mengurangkan prevalen penggunaan produk merokok termasuk vape, undang-undang itu juga bertujuan melindungi golongan bukan perokok daripada bahaya asap rokok.

Kajian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan kadar merokok rakyat Malaysia masih membimbangkan, terutama vape yang meningkat daripada 4.9 peratus pada 2019 kepada 5.8 peratus (2023).

Sebelum ini, menteri kesihatan dilaporkan berkata kerajaan persekutuan akan mengharamkan sepenuhnya penjualan vape sebagai langkah membendung penyalahgunaan produk berkenaan.

Menurut Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, ia akan dibuat secara berperingkat, bermula dengan pengharaman sistem terbuka sebelum diperluas kepada semua jenis vape meliputi keseluruhan produk.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.