Rawatan kesuburan rangsang pelancongan perubatan Selangor

6 Jun 2026, 3:00 AM
Rawatan kesuburan rangsang pelancongan perubatan Selangor
Rawatan kesuburan rangsang pelancongan perubatan Selangor
Rawatan kesuburan rangsang pelancongan perubatan Selangor

SUBANG JAYA, 6 JUN: Rawatan kesuburan dikenal pasti antara bidang berpotensi besar bagi merangsang sektor pelancongan perubatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling menjelaskan rawatan sedemikian khususnya persenyawaan in-vitro (IVF) muncul antara segmen paling pesat berkembang.

“Bagi rawatan kesuburan seperti IVF, pesakit memerlukan beberapa kali lawatan. Mereka datang selama tiga atau empat hari dan perlu kembali semula pada bulan berikutnya.

"Proses ini boleh mengambil masa antara tiga hingga enam bulan atau sehingga setahun,” katanya kepada Media Selangor baru-baru ini.

Beliau berkata pakej IVF mendapat sambutan bukan sahaja dalam kalangan pesakit antarabangsa bahkan rakyat tempatan, malah beberapa hospital di Selangor giat mempromosi rawatan tersebut.

Menurut Yee Ling, rawatan tersebut mendapat perhatian meluas selepas ia dipopularkan penyanyi tersohor tanah air Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin yang sebelum ini bekerjasama dengan Alpha IVF Group.

Ketua Pegawai Eksekuti Tourism Selangor Chua Yee Ling. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Pelancongan kesejahteraan

Yee Ling memberitahu Selangor juga giat menyasarkan kelompok warga emas melalui pakej berteras kesejahteraan, gabungan pelancongan santai dan penjagaan kesihatan pencegahan.

Beliau menjelaskan banyak hospital menawarkan pakej khusus untuk warga emas yang memerlukan rawatan katarak, ortopedik dan pemantauan kesihatan berkala.

“Kami menggalakkan penuaan aktif iaitu individu menjaga kesihatan dan memantau laporan perubatan mereka supaya kekal sihat. Ini melibatkan pesakit tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Katanya, minat terhadap konsep kesejahteraan dan penjagaan warga emas bertambah ekoran peningkatan populasi menua termasuk pusat pemulihan selepas discaj hospital dan kemudahan kediaman berbantu.

Yee Ling juga memberi contoh pembangunan seperti Sunway Sanctuary yang menyediakan kemudahan pemulihan dan rehabilitasi jangka pendek untuk warga emas selepas discaj dari hospital.

“Ini akan menjadi trend masa depan kerana ramai pasangan bekerja yang memerlukan sokongan penjagaan apabila ibu bapa mereka semakin berusia dan memerlukan perhatian,” katanya.

Menjelaskan penjagaan kesihatan pencegahan tumpuan pelancongan perubatan, beliau berkata pihak berkuasa dan penyedia kesihatan berusaha mengubah tanggapan supaya masyarakat tidak hanya mendapatkan rawatan selepas sakit.

“Kempen ini bukan sekadar mendapatkan doktor apabila sakit. Keseluruhan kempen penjagaan kesihatan dan kesejahteraan adalah menjadikan penjagaan kesihatan sebagai amalan berterusan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan saringan berkala dan pemeriksaan kesihatan kini semakin dipromosi sebagai sebahagian pakej pelancongan kesejahteraan khususnya kalangan pelancong warga emas.

Katanya, kos rawatan di Malaysia yang relatif berpatutan, digabung kepakaran perubatan dan kepercayaan pesakit, juga memberi kelebihan kepada negara berbanding pesaing serantau.

Tambah Yee Ling, pendigitalan dan teknologi moden memperkukuh daya saing Selangor ekoran banyak hospital membuat pembedahan robotik, telekonsultasi dan penjagaan kesihatan dibantu kecerdasan buatan (AI).

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.