ad

‘Ulat’ di KLIA2 tawar tambang RM120 ke Sri Hartamas ditahan JPJ

20 Okt 2025, 11:00 AM
‘Ulat’ di KLIA2 tawar tambang RM120 ke Sri Hartamas ditahan JPJ
‘Ulat’ di KLIA2 tawar tambang RM120 ke Sri Hartamas ditahan JPJ

SHAH ALAM, 20 OKT: Padah menawarkan khidmat pengangkutan haram dengan tambang RM120 kepada tiga penumpang, seorang lelaki ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam operasi penguatkuasaan di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2).

JPJ Selangor dalam kenyataan di Facebook memaklumkan, lelaki berkenaan yang memandu Toyota Vios ditahan anggota Stesen Penguatkuasa KLIA selepas hasil risikan dan pemantauan mendapati dia aktif memujuk penumpang menggunakan perkhidmatan tidak berlesen.

“Siasatan awal mendapati suspek atau ‘ulat’ terbabit telah memujuk dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada tiga penumpang warganegara Malaysia dari Terminal 2 KLIA ke Balai Polis Sri Hartamas, Kuala Lumpur dengan kadar tambang RM120 yang akan dibayar sebaik tiba di destinasi.

“Kenderaan bersama pemandu telah disita untuk siasatan lanjut,” menurut kenyataan itu.

JPJ menjelaskan, kes disiasat di bawah Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010) yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Mereka yang bersubahat juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1) di bawah akta sama,” jelas kenyataan itu lagi.

Dalam pada itu, JPJ menasihatkan orang ramai supaya menggunakan perkhidmatan pengangkutan sah melalui kaunter rasmi di Terminal 1 dan 2 KLIA atau aplikasi e-hailing berlesen bagi mengelakkan risiko keselamatan serta penipuan tambang.

Sebarang maklumat atau aduan berkaitan boleh disalurkan ke aduantrafik@jpj.gov.my atau menerusi aplikasi e-aduan@JPJ.