JPJ tahan ‘ulat’ di KLIA, Honda City disita tawar tambang haram RM110

2 Mac 2026, 2:01 AM
JPJ tahan ‘ulat’ di KLIA, Honda City disita tawar tambang haram RM110

SHAH ALAM, 2 MAC: Taktik seorang ‘ulat’ menawarkan perkhidmatan pengangkutan secara haram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akhirnya terbongkar selepas ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada 26 Februari lalu.

Penahanan dibuat hasil intipan dan pemantauan penguatkuasaan di Terminal 1 KLIA yang membawa kepada sitaan sebuah Honda City dipercayai digunakan untuk kegiatan berkenaan.

Menurut JPJ Selangor, siasatan awal mendapati suspek memujuk dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan haram kepada dua warga Bangladesh.

“Kadar tambang keseluruhan yang ditawarkan ialah RM110 dari Terminal 1 KLIA ke dua lokasi berbeza iaitu Shah Alam dan Kajang, dengan bayaran dibuat selepas tiba di destinasi,” menurut kenyataan itu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010) yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

JPJ menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menjalankan perkhidmatan pengangkutan tanpa lesen sah.

Orang awam turut dinasihatkan menggunakan perkhidmatan sah melalui kaunter rasmi di Terminal 1 dan 2 KLIA atau aplikasi e-hailing, selain menyalurkan aduan melalui emel aduantrafik@jpj.gov.my atau aplikasi e-aduan@JPJ.

Apa reaksi anda?