SHAH ALAM, 2 NOV: Seorang lelaki ditahan manakala keretanya disita selepas dikesan menawarkan perkhidmatan sewa haram kepada warga asing di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada Jumaat lalu.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor dalam kenyataan memaklumkan, hasil intipan dan pemantauan rapi pasukan penguat kuasa membawa kepada penahanan individu berkenaan serta penyitaan kenderaan yang digunakan bagi aktiviti itu.
“Siasatan awal mendapati suspek memujuk tiga penumpang warga Bangladesh untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutannya dari Terminal 1 KLIA ke Agile Residence, Bukit Bintang dengan kadar tambang RM80 yang akan dibayar setibanya di destinasi,” menurut kenyataan itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
JPJ turut memberi amaran bahawa mana-mana individu yang bersubahat dalam aktiviti ‘ulat’ boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 243(1) akta sama.
“JPJ memandang serius kegiatan ini yang menjejaskan imej negara dan mengundang risiko keselamatan kepada pelancong. Orang ramai dinasihatkan menggunakan perkhidmatan pengangkutan sah melalui kaunter rasmi di Terminal 1 dan 2 KLIA atau melalui aplikasi e-hailing berdaftar,” katanya.
Aduan berkaitan juga boleh disalurkan melalui e-mel aduantrafik@jpj.gov.my atau aplikasi e-aduan@JPJ bagi tindakan lanjut.




