BUKIT MERTAJAM, 20 OKT: Polis menahan dua lagi lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes seorang wanita yang ditemukan maut bersama anak perempuannya di sebuah rumah di Kampung Sekolah Juru di sini Sabtu lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata kedua-dua lelaki berusia 40-an itu termasuk seorang warga asing ditahan secara berasingan di sini hari ini.
"Polis akan membawa kedua-duanya ke mahkamah esok untuk proses reman dan kita percaya mereka dapat membantu siasatan kes," katanya hari ini.
Azizee berkata polis juga sedang mengenal pasti sama ada terdapat individu lain yang terlibat dalam kes pembunuhan dua beranak berkenaan dengan siasatan terperinci sedang dijalankan termasuk bagi mengetahui motif.
Media Sabtu lalu melaporkan mayat wanita dan anak perempuannya itu ditemukan dalam keadaan menyayat hati di sebuah rumah di Kampung Sekolah Juru, dipercayai menjadi mangsa pembunuhan.
Azizee dilaporkan berkata mayat wanita berusia 51 tahun yang merupakan peniaga kuih dan anaknya berusia 11 tahun ditemukan suaminya yang pulang ke rumah kira-kira 7.30 malam dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Susulan kejadian itu, polis menahan reman suami wanita terbabit yang berusia 57 tahun selama seminggu hingga 25 Oktober bagi membantu siasatan.
- BERNAMA