ad

Mayat ibu dan anak perempuan ditemukan dalam rumah, disyaki dibunuh

18 Okt 2025, 11:43 PM
Mayat ibu dan anak perempuan ditemukan dalam rumah, disyaki dibunuh

BUKIT MERTAJAM, 19 OKT: Mayat dua beranak, masing-masing seorang wanita dan anak perempuannya, dipercayai dibunuh, ditemukan di sebuah rumah di Juru, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail, ketika dihubungi Bernama, mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan bahawa mayat kedua-dua mangsa ditemukan oleh suami wanita berkenaan yang pulang ke rumah kira-kira pukul 7.30 malam semalam.

"Polis masih menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian itu, termasuk sama ada mangsa dirompak sebelum dibunuh atau sebaliknya. Pasukan forensik juga masih berada di lokasi bagi menjalankan pemeriksaan lanjut," katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Difahamkan, mayat wanita berusia lingkungan 50-an itu ditemui di bahagian dapur di tingkat bawah rumah terbabit, manakala anak perempuannya yang berusia 11 tahun ditemukan di tingkat atas kediaman berkenaan.