ad

Arab Saudi perketat syarat haji, pesakit kronik dan berjangkit dilarang ke Tanah Suci

20 Okt 2025, 5:19 AM
Arab Saudi perketat syarat haji, pesakit kronik dan berjangkit dilarang ke Tanah Suci

SHAH ALAM, 20 OKT: Kerajaan Arab Saudi menetapkan beberapa syarat kesihatan baharu bagi musim Haji 1447H/2026M, termasuk larangan kepada individu yang menghidap penyakit kronik tidak terkawal dan penyakit berjangkit daripada menunaikan ibadah haji tahun hadapan.

Lembaga Tabung Haji (TH) dalam kenyataan memaklumkan syarat itu perlu dipatuhi oleh semua bakal jemaah haji sebelum layak memperoleh visa haji daripada Arab Saudi.

"Antara syarat utama yang ditetapkan ialah jemaah mesti bebas daripada penyakit berjangkit atau penyakit kronik yang tidak terkawal serta berupaya melaksanakan ibadah haji dengan sendiri," jelas TH.

Bakal jemaah tidak layak menunaikan haji jika mempunyai keadaan atau penyakit seperti berikut:

  • Kegagalan buah pinggang kronik

  • Kegagalan jantung atau penyakit jantung serius

  • Penyakit paru-paru kronik

  • Penyakit hati kronik

  • Masalah neurologi atau mental yang menjejaskan fungsi kognitif dan motor

  • Warga emas dengan dementia atau fizikal terlalu lemah

  • Kehamilan berisiko tinggi

  • Penyakit berjangkit aktif

  • Penyakit kanser yang sedang dalam rawatan

Dalam kenyataan sama, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata pihaknya sentiasa mengutamakan keselamatan, kebajikan dan keselesaan jemaah Malaysia dalam setiap operasi haji.

“Bagi musim Haji 1447H/2026M juga, TH akan meneruskan penyediaan klinik kesihatan di semua bangunan penginapan jemaah di Makkah dan Madinah, lengkap dengan klinik pesakit luar dan farmasi yang dikendalikan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Walau bagaimanapun bagi musim Haji 1447H/2026M, TH tidak lagi dibenarkan membuka pusat rawatan di Tanah Suci. Bagi jemaah yang memerlukan rawatan lanjut, mereka akan dirujuk ke hospital-hospital yang disediakan Kerajaan Arab Saudi dengan pemantauan rapi pakar perubatan dari KKM,” katanya.

Jelas beliau, TH turut merancang untuk menyalurkan jemaah ke hospital swasta di Arab Saudi sekiranya diperlukan. TH dengan kerjasama KKM juga akan menyediakan seramai 225 petugas kesihatan bagi musim haji tahun depan.

Menurut Mustakim, tahap kesihatan yang baik merupakan syarat kemampuan (istito‘ah) yang telah digariskan dalam resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan dan menjadi asas kelayakan bagi setiap bakal jemaah.

“Seperti mana syarat menerima tawaran haji sebelum ini, bakal haji perlu lulus pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan oleh KKM. TH akan terus memastikan jemaah Malaysia mendapat perkhidmatan kesihatan terbaik sepanjang berada di Tanah Suci,” katanya.

Beliau turut menasihatkan semua bakal jemaah supaya membuat persediaan fizikal secukupnya, memandangkan ibadah haji memerlukan ketahanan tubuh yang tinggi dalam suasana berdebu dan cuaca panas di Arab Saudi.