ad

Abang mangsa tragedi Juru harap keadilan ditegakkan

19 Okt 2025, 3:10 PM
Abang mangsa tragedi Juru harap keadilan ditegakkan
Abang mangsa tragedi Juru harap keadilan ditegakkan

BUTTERWORTH, 19 OKT: Abang kepada Sariya Che Hin, 51, wanita yang ditemukan maut dipercayai dibunuh di sebuah rumah di Kampung Sekolah Juru, dekat sini semalam, masih terkejut dan belum dapat menerima bahawa adiknya sudah tiada.

Abang mangsa, Bismi Che Hin, 60, ketika ditemui di pekarangan Hospital Seberang Jaya berkata keluarganya menyifatkan pemergian adiknya itu sebagai sangat menyedihkan dan tidak disangka-sangka serta berharap pihak yang bertanggungjawab dapat dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin.

Bismi berkata Sariya yang merupakan anak bongsu daripada enam beradik, mempunyai seorang anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu dan baru sahaja mendirikan rumah tangga dengan suaminya beberapa tahun lepas namun tidak dikurniakan anak.

“Dia (Sariya) juga memelihara dua anak angkat dan kanak-kanak perempuan yang meninggal dunia bersamanya itu adalah anak angkat yang dijaga sejak kecil.

“Apa yang saya tahu adik saya seorang yang baik dan peramah,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di rumah mangsa di Kampung Sekolah Juru hari ini mendapati lokasi kejadian masih dikawal anggota polis.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail ketika dihubungi berkata pihaknya telah menahan reman suami mangsa berusia 57 tahun sehingga 25 Oktober ini bagi membantu siasatan.

Semalam, peniaga kuih Sariya dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun ditemui maut dipercayai dibunuh dan mayat mereka ditemui suami mangsa kira-kira 7.30 malam.

- BERNAMA