ad

Tragedi Gunung Liang: Rakan pulang awal kerana kerja, cuti

19 Okt 2025, 5:44 AM
Tragedi Gunung Liang: Rakan pulang awal kerana kerja, cuti

SHAH ALAM, 19 OKT: Polis merakam percakapan lapan individu bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang pendaki di Gunung Liang, di Tanjung Malim, Perak, Khamis lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Muallim, Deputi Superintenden Suhaimi Muhamad berkata, mereka yang dirakam percakapan merupakan peserta dan rakan pendaki kepada Allahyarham Mustaqqeem Mansor, 34, yang turut serta dalam misi pendakian berkenaan.

“Baki tiga lagi pendaki yang turut serta dalam ekspedisi akan dipanggil kemudian bagi melengkapkan siasatan. Mereka dikesan pulang terus selepas tiba di kaki gunung disebabkan urusan kerja dan cuti,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Suhaimi, penganjur aktiviti pendakian terbabit turut dikenal pasti dan akan dipanggil memberi keterangan dalam masa terdekat.

“Setakat ini, siasatan dijalankan di bawah laporan mati mengejut (SDR),” tambah beliau.

Bedah siasat yang dijalankan di Hospital Slim River mengesahkan punca kematian Mustaqqeem adalah akibat hipotermia atau kesejukan melampau.

Mangsa ditemukan meninggal dunia pada jam 3.30 petang, Khamis lalu, di puncak Gunung Liang sebelum jenazah dibawa keluar menggunakan helikopter AW189 milik Pasukan Khas Udara Bomba, keesokan harinya.

Difahamkan, pendakian dimulakan pada 10 Oktober dari Bukit Fraser, Pahang bersama lapan peserta dan dipandu oleh dua malim gunung.

Kali terakhir Allahyarham dilihat ialah pada jam 10.30 malam, Selasa, ketika berada di puncak gunung berketinggian 1,933 meter itu.

Insiden tersebut menarik perhatian masyarakat khususnya komuniti pendaki yang menggesa aspek keselamatan diberi perhatian serius terutama ketika ekspedisi melibatkan laluan mencabar dan cuaca ekstrem.