ad

Kerajaan Negeri, UiTM jayakan FOI Selangor 2025, perkukuh hab ilmu, inovasi negara

18 Okt 2025, 11:39 AM
Kerajaan Negeri, UiTM jayakan FOI Selangor 2025, perkukuh hab ilmu, inovasi negara
Kerajaan Negeri, UiTM jayakan FOI Selangor 2025, perkukuh hab ilmu, inovasi negara

SHAH ALAM, 18 OKT: Usaha menjadikan Malaysia hab ilmu dan inovasi inklusif diterjemah melalui Festival of Ideas (FOI) Selangor 2025, hasil kerjasama Kerajaan Negeri Selangor dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menekankan kepentingan menjadikan Malaysia sebagai hab ilmu dan inovasi yang diraikan secara inklusif, sejajar dengan hasrat membina ekosistem pengetahuan yang menyeluruh dan kolaboratif.

"Malaysia sebagai hab ilmu, cetusan idea dan inovasi perlu diraikan. 'Festival of Ideas' yang digagaskan oleh Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir bersama kepimpinan Kementerian Pendidikan Tinggi sejak 2024 telah membuka ruang luas kepada penghasilan idea dan penyelidikan yang berimpak.

"Inisiatif ini diteruskan bagi memperkukuh idea dan inovasi yang tercetus melalui penyelidikan, telaah dan pembentangan idea," katanya.

Beliau berkata, FOI yang baru-baru ini dilancarkan di UiTM Sri Iskandar, Perak oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, akan diteruskan secara berperingkat ke seluruh negara sebagai usaha memperkukuh budaya ilmu dan kolaborasi rentas sektor.

"Tahun ini, FOI Selangor akan berlangsung pada 25 dan 26 Oktober di UiTM Shah Alam. Ia merupakan sinergi strategik antara Kerajaan Negeri Selangor dan UiTM dalam membina generasi berilmu, memperkukuh jaringan idea serta menyemai inovasi yang mensejahterakan masyarakat," ujarnya.

Majlis Pra-Pelancaran (Soft Launch) FOI Selangor 2025 disempurnakan di Foyer Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri hari ini.

Amirudin turut menzahirkan penghargaan kepada UiTM atas komitmen menganjurkan FOI Selangor 2025 yang diyakini menarik lebih ramai penyelidik, pelajar dan pemain industri menyertai usaha memperkukuh daya cipta tempatan.

"Syabas kepada UiTM atas inisiatif ini yang bukan sahaja mengiktiraf potensi inovator dan penyelidik muda, tetapi juga memperkukuh usaha menjadikan Selangor dan Malaysia sebagai pusat rujukan idea dan inovasi serantau," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM Datuk Prof Ts Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin menjelaskan FOI memainkan peranan penting sebagai wadah untuk memasyarakatkan ilmu serta menghubungkan dunia akademik dengan keperluan industri dan komuniti.

"'Festival of Ideas' bukan sekadar acara akademik, tetapi wadah besar yang menghimpunkan penyelidik, inovator dan masyarakat bagi mempersembahkan hasil pemikiran serta penyelidikan yang memberi impak nyata kepada kehidupan," katanya.

Beliau menambah, penganjuran FOI Selangor merupakan manifestasi komitmen UiTM dalam menyatukan kekuatan ilmu dan inovasi demi kesejahteraan rakyat, seiring aspirasi kerajaan membina masyarakat berilmu dan berdaya saing global.

"UiTM amat berbesar hati menerima kepercayaan ini. Kami yakin FOI akan menjadi jambatan antara dunia akademik, industri dan komuniti, sekali gus memupuk budaya inovasi yang lestari di peringkat nasional," ujarnya.

Pelbagai pengisian menarik akan berlangsung sepanjang dua hari acara, termasuk telaah ilmiah, pembentangan idea, pameran inovasi, forum kepimpinan, bengkel komuniti dan sesi perkongsian penyelidikan.

FOI dijangka menjadi antara platform akademik dan inovasi terbesar tahun ini, menghimpunkan ilmuwan, penyelidik, agensi kerajaan, pemain industri dan pelajar dari seluruh negara bagi memperkukuh ekosistem ilmu serta kreativiti nasional.